Mat Sabu seru rakyat nilai fakta, bukan propaganda -“Politik ketakutan tak majukan Melayu”

Mat Sabu seru rakyat nilai fakta, bukan propaganda -“Politik ketakutan tak majukan Melayu”

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan pengundi Melayu supaya membuat pilihan berdasarkan fakta, integriti dan amanah, bukannya dipengaruhi sentimen perkauman atau politik berasaskan ketakutan.

Pendekatan itu boleh jejaskan keharmonian

Menerusi kenyataan yang dibuat di media sosial, Mat Sabu menyatakan pendekatan sedemikian bukan sahaja gagal memajukan orang Melayu, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau menambah, sentimen anti-DAP yang masih wujud dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu dipercayai terbentuk hasil naratif politik yang dimainkan sejak sekian lama.

Politik ketakutan tidak akan memajukan orang Melayu, yang akan memajukan orang Melayu ialah keberanian untuk memilih berdasarkan fakta, integriti dan amanah, bukan propaganda yang diulang-ulang sehingga dianggap benar.
“Saya beri tahu semua ni sebab sayang orang Melayu, tak sanggup melihat bangsa sendiri begitu mudah ditipu, begitu mudah dipermainkan dan begitu mudah diperalatkan dengan cerita-cerita yang tidak berasaskan fakta.
“Orang Melayu mesti berani berfikir, berani menyemak dan berani memilih yang benar,” katanya.

#

Jangan terlalu takut dengan sesuatu yang belum berlaku

Dalam hantaran sama, Mohamad turut menjelaskan bahawa pelbagai dakwaan yang sering dikaitkan dengan DAP, termasuk isu melibatkan hak orang Melayu dan kedudukan Islam, tidak berlaku seperti yang sering digambarkan.

Menurutnya, naratif berasaskan ketakutan terus diulang sehingga dipercayai walaupun tidak disokong dengan bukti yang jelas.

“Puas saya fikir, mengapa sentimen anti-DAP masih begitu kuat. Adakah masjid ditutup? Tidak. Adakah azan diharamkan? Tidak.

“Adakah hak orang Melayu dalam Perlembagaan dihapuskan? Tidak. Peruntukan untuk syiar Islam juga bukan sahaja tidak dipotong, malah bertambah.

“Jangan sampai kita terlalu takut kepada perkara yang tidak pernah berlaku, tetapi terlalu mudah memejamkan mata terhadap salah laku yang sudah dibuktikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kepentingan pengundi membuat penilaian berdasarkan fakta dan rekod, selain tidak membiarkan propaganda atau sentimen politik mempengaruhi keputusan dalam memilih kepimpinan.

Sumber: Facebook Mohamad Sabu

Scroll to Top