suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) terus mempererat kerjasama strategik dalam memperkukuh agenda antirasuah serta memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Kerjasama itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Pertemuan selama 30 minit itu menjadi platform kedua-dua pihak bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman, khususnya berkaitan pelaksanaan projek-projek KKR di seluruh negara.
Abd Halim berkata, sinergi antara kedua-dua organisasi amat penting dalam memperkasakan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi.
Sementara itu, Azman berkata, KKR memberi perhatian khusus terhadap pembangunan infrastruktur termasuk kerja pembaikan jalan raya dan fasiliti di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.
“Isu kerosakan dan kedaifan fasiliti tersebut telah dibawa terus kepada pengetahuan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian yang berkaitan bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Lawatan berkala turut diadakan termasuk ke Sabah dan Sarawak atas dorongan peribadi dan empati terhadap masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




