GLASGOW: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen negara di Sukan Komanwel 2026 apabila meraih emas menerusi acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.
Kejayaan itu juga mengakhiri penantian selama 16 tahun ‘The Pocket Rocketman’ untuk bergelar juara Sukan Komanwel, sekaligus melengkapkan koleksi pingat Azizulhasni di temasya itu selepas pernah meraih gangsa pada Glasgow 2014.
Dalam aksi final itu, Azizulhasni memulakan saingan di kedudukan keempat sebelum melakukan pecutan luar biasa di selekoh terakhir untuk memintas pencabarnya dan melintasi garisan penamat di tempat pertama.
Kayuhan bertenaga atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu sukar dicabar apabila dia mengetepikan pelumba Australia, Leigh Hoffman yang meraih pingat perak, manakala gangsa menjadi milik, Harry Ledingham-Horn.
Selepas perlumbaan Azizulhasni dilihat tidak dapat menahan sebak apabila terduduk dan menangis di tepi trek sambil menerima tepukan gemuruh daripada ribuan penyokong yang memenuhi Velodrom Sir Chris Hoy sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan bersejarah itu.
Emas berkenaan hadir selepas Azizulhasni terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final apabila menamatkan perlumbaan separuh akhir pertama di tempat kedua di belakang pelumba Australia, Tayte Ryan.
Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk mempunyai dua wakil di final tidak kesampaian apabila Muhammad Shah Firdaus Sahrom terkandas di separuh akhir kedua selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.- UTUSAN




