Pelakon Korea Selatan akui cukup seronok bekerja dengan produksi Malaysia

Pelakon Korea Selatan akui cukup seronok bekerja dengan produksi Malaysia

am@hmetro.com.my

BINTANG Korea Selatan, Ha Ju Young mengakui cukup senang bekerja dengan produksi Malaysia kerana suasana di lokasi penggambaran yang mesra dan penuh dengan semangat kekeluargaan.

Ju Young yang terbabit dalam filem kerjasama antarabangsa, Tiket Sehala berkata, pengalaman pertamanya bekerja dengan pelakon serta kru tempatan meninggalkan kenangan cukup bermakna.

Menurutnya, tenaga kerja produksi Malaysia tetap mengekalkan tahap profesionalisme tinggi ketika menjalankan tugas, namun hubungan mereka menjadi lebih rapat selepas selesai penggambaran.

“Produksi Korea sangat profesional, baik dan mesra, tetapi biasanya ada batas tertentu antara semua orang.

“Kami akan datang bekerja, menyapa dan mungkin bergurau sedikit, tetapi selepas itu masing-masing akan berehat dan menghormati ruang peribadi,” katanya.

Bagaimanapun, Ha Ju Young berkata, suasana yang dialaminya ketika bekerja bersama produksi Malaysia agak berbeza kerana semua individu terbabit banyak meluangkan masa bersama.

“Di Malaysia, mereka sangat profesional ketika bekerja, tetapi selepas selesai kerja, semua orang boleh bergurau mesra menjadi seperti sebuah keluarga.

“Mereka makan bersama, menyanyi bersama, menari, bergurau dan keluar bersama. Saya sangat sukakan suasana seperti itu,” katanya.

Pelakon berusia 31 tahun itu berkata, sikap terbuka pelakon dan kru tempatan juga memudahkannya menyesuaikan diri walaupun berdepan perbezaan bahasa dan budaya.

Katanya, semua pihak sentiasa berusaha membantunya memahami arahan serta perbualan di lokasi penggambaran dengan bercakap secara perlahan dan jelas.

“Mereka sangat menghormati dan banyak membantu saya. Apabila saya tidak faham, mereka akan menerangkan satu persatu supaya saya dapat mengikutinya,” katanya.

Ju Young turut memuji barisan pelakon Malaysia yang disifatkan sebagai rendah diri, baik dan mudah didekati sepanjang penggambaran filem berkenaan.

Katanya, hubungan rapat yang terjalin membuatkan dia tidak berasa terasing meskipun Tiket Sehala adalah projek pertamanya bersama produksi Malaysia.

Selain itu, dia turut kagum dengan tahap komitmen barisan pelakon tempatan yang tetap memberikan persembahan terbaik walaupun berdepan cuaca sejuk ketika penggambaran dijalankan di Korea Selatan.

“Mereka datang dari Malaysia dan ada yang pertama kali berdepan musim sejuk. Walaupun sangat sejuk, mereka tetap melakukan kerja dengan penuh semangat dan profesional.

“Saya dapat banyak inspirasi dari penggambaran produksi ini. Kalau diberikan peluang akan datang, saya mahu bekerja dengan produksi Malaysia sekali lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top