Los Angeles: Sebuah jet pejuang F-35 Amerika Syarikat (AS) terhempas pada Jumaat berhampiran pangkalan tentera di San Diego, tetapi juruterbang itu berjaya melepaskan diri dengan menggunakan kerusi lenting, kata pegawai.
“Terdapat satu kemalangan penerbangan yang membabitkan sebuah F-35B Kor Marin di sekitar” Stesen Udara Kor Marin Miramar kira-kira 10 pagi (1700 GMT), kata jurucakap pangkalan itu kepada AFP.
“Juruterbang itu (melepaskan diri dengan kerusi lenting) dan sedang dalam perjalanan ke kemudahan perubatan.”
Jurucakap itu tidak dapat menyatakan sama ada juruterbang itu cedera dalam kejadian itu, atau jika ada orang lain yang cedera. Tetapi beliau berkata, tentera AS akan memberikan butiran lanjut pada masa akan datang.
Rakaman yang diedarkan di media sosial menunjukkan kepulan asap naik dari pesawat, ketika anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan api.
MCAS Miramar dikenali di seluruh dunia sebagai sekolah untuk juruterbang elit. Ia turut dipaparkan dalam filem “Top Gun” pada 1986 yang dibintangi oleh Tom Cruise.
© New Straits Times Press (M) Bhd




