Polis cari pemandu e-hailing bantu siasatan video tular lelaki hina al-Quran dan Islam

Polis cari pemandu e-hailing bantu siasatan video tular lelaki hina al-Quran dan Islam

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis mengesan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular yang memaparkan seorang penumpang lelaki yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam dan al-Quran.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya mengesan pemandu e-hailing berkenaan bagi membolehkan polis untuk mengenal pasti suspek atau penumpang kenderaan terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kelmarin, kira-kira 5.55 petang di kawasan bandar raya ini.

“Berdasarkan rakaman paparan papan pemuka (dashcam), berlaku perbualan antara seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing dengan seorang lelaki disyaki penumpang yang mendakwa serta mengeluarkan kenyataan mengenai al-Quran dan menghina agama Islam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau mengesahkan ada menerima satu laporan berhubung hantaran media sosial berkenaan, pada 3.25 petang semalam.

Menurut beliau, laporan itu dibuat oleh seorang pegawai polis selepas ternampak hantaran video di Facebook pada 2.30 petang hari sama.

“Hantaran berkenaan mendatangkan rasa tidak puas hati kepada pengadu kerana didapati menyentuh sensitiviti serta memburukkan agama Islam,” katanya.

Azrul Hisham berkata, kes disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang seperti Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top