Karnival Jom Heboh platform promosi produk usahawan PERKEP

Karnival Jom Heboh platform promosi produk usahawan PERKEP

Kota Samarahan: Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 menjadi platform terbaik buat Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP) memperkenalkan produk usahawan ahlinya kepada masyarakat, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk mengembangkan pasaran.

Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Munirah Che Rose berkata, penyertaan sulung PERKEP dalam karnival itu memberi ruang kepada persatuan mengetengahkan pelbagai produk hasil tangan ahli yang terdiri daripada isteri pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, penyertaan itu bukan sekadar mempromosikan produk tempatan, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan PERKEP dalam memperkasa ekonomi keluarga warga PDRM.

“Karnival Jom Heboh ini memberi peluang keemasan kepada kami untuk memperkenalkan produk hasil tangan ahli-ahli PERKEP yang terdiri daripada isteri pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan inilah platform terbaik untuk mempamerkan hasil usaha mereka kepada masyarakat,” katanya yang ditemui ketika tinjauan di reruai PERKEP di tapak KKH Sarawak Segulai Sejalai, di sini.

Menurutnya lagi, PERKEP juga diberi peluang untuk menyertai siri Karnival Jom Heboh di seluruh Malaysia.

“Peluang ini akan kami manfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan PERKEP serta memperkenalkan produk usahawan ahli kepada lebih ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan dalam siri Karnival Jom Heboh di seluruh negara dijangka mampu memperluas capaian pasaran produk usahawan PERKEP, selain membuka lebih banyak peluang jaringan perniagaan.

Katanya, penyertaan berterusan dalam program seumpama itu juga dapat membantu meningkatkan nilai komersial produk keluaran ahli, di samping mengukuhkan imej PERKEP sebagai persatuan yang aktif memperkasa usahawan dalam kalangan keluarga warga PDRM.

Penyertaan julung kali PERKEP di Karnival Jom Heboh Kota Samarahan turut dilihat sebagai permulaan kepada kerjasama lebih erat dengan penganjur, sekali gus memastikan produk keluaran usahawan ahlinya terus mendapat pendedahan kepada masyarakat di pelbagai lokasi penganjuran pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top