Sinar Harian tekad kekal seimbang, relevan

Sinar Harian tekad kekal seimbang, relevan

SHAH ALAM – Sinar Harian yang meraikan ulang tahun ke-20 pada Jumaat bertekad untuk terus menyampaikan laporan seimbang, kritikal dan mampu mendidik masyarakat selaras aspirasi penubuhannya sejak dua dekad lalu.

Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, meskipun dunia digital membawa pelbagai cabaran baharu sehingga ada organisasi media gagal bertahan dalam industri, kesediaan serta kepantasan pihak pengurusan melaksanakan transformasi membolehkan akhbar itu terus kekal relevan dan berkembang sehingga mencapai usia 20 tahun.

“Pada awal penerbitannya, Sinar Harian hadir dengan identiti akhbar komuniti dan adil untuk semua pemimpin dari mana-mana parti.

“Ia merupakan formula yang tidak ada pada kebanyakan media lain sama ada berpihak dan mendukung sesetengah parti politik,” katanya sempena sambutan ulang tahun ke-20 Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurut Zamri, kelahiran Sinar Harian pada tahun 2006 turut berlaku ketika dunia media mula berdepan perubahan besar susulan perkembangan digital dan kemunculan platform media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia baik daripada pemimpin-pemimpin negara, pihak korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan pembaca yang masih setia bersama Sinar Harian,” ujarnya.

Sinar Harian meraikan ulang tahun ke-20 pada Jumaat.

Sinar Harian meraikan ulang tahun ke-20 pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi menyifatkan perjalanan selama dua dekad sebagai satu pencapaian yang bermakna buat organisasi berkenaan.

Katanya, tempoh itu dipenuhi dengan dedikasi, cabaran dan pelbagai kejayaan hasil usaha serta komitmen berterusan seluruh tenaga kerja.

“Terima kasih atas usaha keras dan komitmen berterusan seluruh tenaga kerja sepanjang 20 tahun yang hebat ini.

“Selamat menyambut ulang tahun ke-20 kepada seluruh warga Sinar Harian.

“Semoga Sinar Harian terus cemerlang melakar kejayaan pada tahun-tahun mendatang,” kata beliau.

Scroll to Top