Seremban: Kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mencecah 28.11 peratus setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata, pihaknya mendapati kadar keluar mengundi pada sebelah pagi agak menggalakkan berdasarkan tinjauan di beberapa pusat mengundi di sekitar Seremban dengan golongan warga emas lebih ramai keluar mengundi pada sebelah pagi ini berbanding pengundi muda.
“Kita harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi kerana kita menjangkakan pada petang ini cuaca tidak berapa elok.
“Mengikut ramalan kaji cuaca, kawasan yang cuacanya elok sehingga petang cuma di Port Dickson manakala di daerah lain kita menjangkakan akan berlaku hujan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, di sini, hari ini.
Beliau berkata SPR menjangkakan sasaran kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus dapat dicapai berdasarkan persaingan sengit antara parti yang bertanding sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bermula 18 Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




