TEMERLOH: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat menjadikan sejarah sebagai pedoman supaya tidak mengulangi kesilapan yang boleh membawa kepada perpecahan sehingga melemahkan agama, bangsa dan negara.
Titah baginda, sejarah membuktikan bahawa sesuatu bangsa tidak tumbang semata-mata kerana kekuatan musuh, sebaliknya akibat perpecahan dalam kalangan mereka sendiri.
Justeru, baginda bertitah, umat Islam dan orang Melayu perlu terus bersatu mempertahan kesucian agama Islam, memelihara maruah bangsa serta menghormati institusi raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kestabilan dan keharmonian negara.
“Jika umat Islam terus berpecah, suara mereka menjadi semakin lemah manakala bangsa Melayu yang terus bertelagah akan menghakis maruah yang diwarisi daripada nenek moyang.
“Sebaliknya, apabila kita bersatu atas asas ilmu, adab, keadilan dan kasih sayang, maka kita bukan sahaja mampu mempertahan agama dan bangsa, malah mampu membangunkan negeri yang lebih makmur untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Desa Murni sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-67 di sini, semalam.
Sementara itu, Sultan Abdullah mengingatkan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, mempersenda syiar Islam atau mempertikai perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan segelintir pihak yang secara terbuka memperlekeh agama Islam, menghina institusi Melayu serta mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Janganlah kita terlalu ghairah mempertahan kelompok sehingga lupa mempertahan agama. Janganlah kita terlalu sibuk mencari kesalahan saudara sendiri sehingga terlupa membina kekuatan bersama.
“Jangan kerana berbeza warna bendera, kita memutuskan silaturahim. Jangan kerana berbeza pandangan, kita menggadaikan perpaduan.
“Peribahasa Melayu menyebut, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ungkapan ini bukan sekadar warisan kata-kata orang tua, tetapi merupakan formula yang telah membina kekuatan bangsa sejak zaman-berzaman,” titah baginda. – UTUSAN




