Sektor pelancongan Malaysia bakal terima limpahan ekonomi dijana GP Bahrain

Sektor pelancongan Malaysia bakal terima limpahan ekonomi dijana GP Bahrain

JOHOR BAHRU: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini ba memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perkhidmatan tempatan bukan sahaja di kawasan berkenaan, tetapi juga di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, keputusan Bahrain memilih Malaysia sebagai tuan rumah pengganti akan turut menyumbang kepada kemasukan pelancong sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan wakil kerajaan Bahrain, Bahrain Tourism, Gulf Air dan juga penganjur Bahrain GP, minggu depan.

“Memang kita jangkakan limpahan ekonomi akan berlaku. Apa yang pasti adalah melibatkan sudut tempahan hotel dan penginapan, bas-bas pelancongan, produk-produk makanan dan lain-lain.

“Bagi pihak kita, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah minta diadakan satu Karnival F1 sempena GP Bahrain ini. Maklumat kami tempahan hotel bukan sekadar di Sepang dan Putrajaya sahaja, tetapi juga di Kuala Lumpur,” katanya ketika hadir merasmikan Karnival Cuti-cuti Malaysia 2026 Johor di Paradigm Mall, di sini hari ini.

Tambah beliau, penganjuran sukan permotoran nombor satu dunia di Malaysia itu juga telah menarik kehadiran pelancong dari negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan juga Thailand.

“Sementara itu, penganjuran F1 di Singapura minggu berikutnya pula akan turut bawa limpahan ekonomi ke Malaysia, khususnya di negeri Johor. Setiap tahun, sektor pelancongan negeri ini terima peningkatan tempahan penginapan, makanan dan lain-lain.

“Malahan, ada pihak ambil kesempatan melancong di kawasan-kawasan tarikan lain seluruh negeri ini selepas tamatnya perlumbaan tersebut. Singapura memang rakan dekat kita, dimana kita turut bekerjasama dengan Singapore Tourism Board untuk perlumbaan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung karnival berkenaan, pihaknya memberitahu ia diadakan dengan kerjasama sebuah syarikat media tempatan bertujuan mempromosikan produk pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Johor 2026.

“Walaupun diadakan di Johor, pengunjung dapat lihat produk-produk pelancongan dari seluruh negara, termasuklah Sabah, Sarawak dan juga Perlis. Ini penganjuran ketiga, selepas ini karnival ini akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain di seluruh negara,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top