Kementerian pelancongan Indonesia perjelas isu guna foto jenama pakaian Malaysia di laman rasmi

Kementerian pelancongan Indonesia perjelas isu guna foto jenama pakaian Malaysia di laman rasmi

JAKARTA – Kementerian Pelancongan Indonesia (Kemenpar) tampil menjelaskan dakwaan penggunaan foto model daripada jenama pakaian asal Malaysia di laman promosi rasmi negara itu, Indonesia.travel, lapor Kompas.com pada Jumaat.

Isu tersebut tular selepas sebuah akaun Instagram, @asianstoryandheritage, memuat naik perbandingan gambar yang mendakwa laman rasmi promosi pelancongan Indonesia menggunakan foto model Malaysia bagi mempromosikan budaya salah sebuah wilayah di negara itu.

“Kandungan laman web pelancongan Indonesia menggunakan foto model Malaysia daripada jenama pakaian tempatan Malaysia untuk mempromosikan budaya wilayah Indonesia,” menurut hantaran akaun berkenaan yang dipetik media tempatan.

Menjawab dakwaan itu, Timbalan Pemasaran Kemenpar, Ni Made Ayu Marthini menghargai perhatian serta maklum balas orang ramai terhadap kandungan yang dipaparkan di Indonesia.travel.

Menurutnya, keprihatinan masyarakat terhadap kekayaan budaya Indonesia merupakan bentuk kepedulian bersama yang dihargai pihak kementerian.

Beliau berkata, foto yang mencetuskan perhatian membabitkan pakaian tradisional baju kurung itu berasal daripada artikel di laman rasmi Radio Republik Indonesia (RRI) bertajuk ‘Yuk Intip Tata Cara Memakai Baju Kurung Tradisional Kepri’ yang diterbitkan pada 3 Ogos 2023.

Artikel tersebut memaparkan maklumat mengenai baju Melayu sebagai pakaian tradisional masyarakat Kepulauan Riau, termasuk foto yang dijadikan rujukan.

Kemenpar kemudian menggunakan kandungan berkenaan dalam artikel promosi wastra Nusantara di Indonesia.travel bertajuk ‘Baju Kurung’.

Hasil semakan lanjut kementerian itu mendapati foto sama turut digunakan secara meluas di beberapa platform e-dagang Indonesia seperti Lazada, Shopee dan Tokopedia oleh beberapa penjual yang mempunyai kedai fizikal di kawasan Jabodetabek.

Menurut Kemenpar, hasil maklumat daripada penjual di platform berkenaan mendapati produk yang dipasarkan adalah keluaran Indonesia.

Kementerian itu turut menjelaskan baju Melayu termasuk model Cekak Musang dan Teluk Belanga merupakan pakaian tradisional masyarakat Melayu di wilayah Riau serta Kepulauan Riau, Indonesia.

“Baju Melayu berkembang daripada akar budaya Melayu yang tersebar di pelbagai wilayah Asia Tenggara. Justeru, terdapat persamaan dengan tradisi pakaian di beberapa negara yang berkongsi warisan budaya Melayu,” katanya.

Kemenpar menegaskan setiap negara mempunyai identiti, sejarah, istilah dan ciri budaya tersendiri yang menjadi sebahagian daripada kekayaan warisan masing-masing.

Pihak kementerian turut memberi jaminan akan terus menyampaikan maklumat mengenai budaya Indonesia berdasarkan sumber yang dipercayai, selain menyokong usaha pemeliharaan serta promosi warisan budaya negara itu kepada masyarakat dunia. – Agensi

Scroll to Top