SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) telah mempersembah tiga nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk diperkenankan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga nama calon Menteri Besar itu telah diserahkan ketika beliau dititah menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata, Tuanku Muhriz seterusnya akan memilih siapakah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu atas budi bicara dan hak mutlak tuanku.
“Saya telah menghadap tuanku, kami telah adakan perbincangan yang panjang lebar, saya telah utus warkah dan saya secara peribadi dan rasmi telah serahkan warkah dan juga watikah pada tuanku.
“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada tuanku dan saya berikan tiga nama itu, budi bicara tuanku untuk perkenan dan hak mutlak tuanku untuk memilih salah seorang daripada nama-nama yang dikemukakan itu sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Istana Hinggap di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, ketiga-tiga nama itu merupakan dari BN dan pihak istana dijangka akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin.
Beliau dalam pada itu berkata, Tanku Muhriz juga telah memberi perkenan untuk BN dan Perikatan Nasional (BN) membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.
Selepas berakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN berjaya memenangi 18 kerusi selain tujuh lagi kerusi daripada PN menjadikan kedua-duanya boleh membentuk kerajaan dengan 25 kerusi.
PH pula yang menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan selama dua penggal hanya memiliki 11 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, tidak sepatutnya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun digesa untuk keluar daripada Kediaman Menteri Besar di sini susulan kekalahan PH.
“Tidak sepatutnya begitu dan hemat saya, biarlah beri masa, semuanya adalah sahabat kita dan kita mesti ada rasa perikemanusiaan dan tata etika yang harus kita gunakan untuk hormati rakan-rakan kita,” katanya.-UTUSAN.




