Popular dengan Zakiah

Popular dengan Zakiah

puterialia@hmetro.com.my

SIRI 1

TIDAK pernah letak sasaran untuk menjejakkan kaki ke dalam industri seni, siapa sangka pembabitan awal penyanyi, Hazama bermula melalui pendedahan diterima daripada kedua ibu bapanya sejak kecil lagi.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 42, berkongsi, bapanya merupakan antara individu yang memiliki set radio di rumah pada ketika itu.

“Masa saya kanak-kanak, saya mula masuk bidang nyanyian ini sebab saya didedahkan tentang muzik oleh ibu bapa saya. Bapa saya ada radio dan selalu pasang lagu di rumah.

“Kali pertama saya cuba menyanyi adalah sewaktu umur lapan tahun. Lagu pertama yang saya nyanyikan adalah lagu Untukmu Ibu daripada kumpulan Exists,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Sokongan padu ibu menjadi titik permulaan kepada kerjaya seni Hazama, apabila bakat nyanyiannya mula digilap menerusi majlis perkahwinan di sekitar kawasan perumahannya.

“Mak saya sokong dan fikir saya boleh menyanyi. Jadi, setiap kali ada orang kahwin di kawasan rumah saya, mak saya mesti akan minta saya untuk menyanyi.

“Kebetulan bapa pula merupakan DJ (juruhebah) dan yang menjaga sistem bunyi di majlis perkahwinan. Jadi, setiap kali bapa saya kerja sebagai DJ, saya mesti kena menyanyi,” kongsinya.

Menurutnya, pengalaman mendendangkan lagu di majlis perkahwinan adalah medan mengasah bakat nyanyiannya.

“Bermula dari situ bakat saya digilap. Cuma ketika itu, saya tidak suka gaya hidup saya yang perlu menyanyi di majlis kahwin. Antara sebab saya tidak suka menyanyi depan orang kerana saya ‘nervous’ (gementar). Jadi, saya tidak suka ‘handle’ (mengendalikan) perasaan itu.

“Bagi saya, ini bukan perkara yang sepatutnya saya lalui masa kanak-kanak. Sehinggalah ketika saya berusia 12 tahun dan dah mula memberontak, saya cakap dekat mak saya, ini bukan gaya hidup yang saya nak.

“Mak saya cakap, kalau tidak mahu menyanyi, jangan datang majlis kahwin dan saya pilih untuk tidak datang,” katanya lagi.

Biarpun tidak menyukai rutin berkenaan, pendedahan awal itu memberikan kelebihan buat Hazama dari segi pengalaman pentas apabila melangkah ke alam remaja.

“Disebabkan itu saya ada sedikit pengalaman menyanyi depan orang. Bila saya masuk sekolah menengah, saya jadi suka untuk menyanyi.

“Cuma saya letak minat itu sekadar minat sahaja. Bila saya dah sekolah menengah, saya dah berani untuk menyanyi di majlis kahwin. Tetapi tidak kerap pun, ikut saya punya hatilah. Kalau saya rasa nak menyanyi, saya menyanyi,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, ketika berusia 22 tahun, Hazama menjalani kehidupan seperti biasa dengan bekerja di sebuah hotel sebelum mengambil keputusan untuk mencuba nasib di uji bakat program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada 2006.

“Mak saya yang suruh masuk AF sebab sebenarnya peminat nombor satu ialah mak saya. Alhamdulillah saya dapat masuk ‘top 20’ ketika itu,” kongsinya.

Meskipun terkandas di peringkat awal dan tidak terpilih untuk memasuki AF4, pengalaman menerusi konsert prelude AF4 pada 2006 tetap memberi impak besar buat Hazama apabila namanya mula dikenali orang ramai.

“Saya dapat sedikit liputan ketika konsert prelude itu dan ketika konsert itu saya menyanyi lagu Zakiah. Kalau ikutkan, sebelah kaki saya dah masuk ke dalam industri sebab lepas saya masuk AF4, pergi mana-mana pun orang dah mula kenal.

“Cuma ketika itu saya tiada lagu sendiri. Saya akan menyanyi lagu Zakiah sahaja. Jadi lagu Zakiah inilah lagu cari makan saya yang pertama sebab orang kenal saya melalui lagu itu. Cuma bila saya terkandas awal, saya jadi buntu dan tidak tahu nak buat apa,” ujarnya.

Kegagalan melangkah lebih jauh dalam AF4 memberi tamparan hebat buat Hazama sehingga terpaksa berdepan dengan situasi hilang punca pendapatan sepanjang 2007.

Menurut pelantun Relakan Jiwa ini, laluan bergelar penyanyi seolah-olah sudah tertutup rapat, lebih-lebih lagi apabila dia tidak mempunyai sebarang latar belakang pendidikan muzik mahupun talian persaudaraan dalam industri.

“Dari situ saya rasa potensi untuk saya jadi seorang penyanyi tiada dan saya rasa macam tiada jalan. Sepanjang 2007 saya tidak bekerja dan saya rasa sedih juga sebenarnya. Mak saya yang banyak tanggung saya ketika itu. Mak saya hari-hari bagi saya duit belanja RM10,” katanya lagi.

Dalam keadaan buntu tanpa hala tuju, penyanyi dan rakan seperjuangannya dalam program realiti AF4, Farhan Azizan hadir menghulurkan bantuan buatnya untuk berada di bawah naungan Mezzo Forte.

Bantuan dan sokongan Farhan terus membuka pintu rezeki buat Hazama apabila diberi peluang membuat kemunculan semula di pentas persembahan bagi menjayakan siri jelajah program Gempak Desa Astro pada sekitar 2009.

“Saya bersyukur sebab dari situ saya dapat belajar macam-macam perkara. Saya mula belajar macam mana mahu ‘perform’ dan bagaimana nak menari.

“Sebelum itu, vokal saya pun tidak pandai untuk ‘harmonise’, tetapi rakan-rakan AF yang lain banyak ajar saya. Mereka sangat positif. Jadi bila ‘circle’ kita positif, kita akan dapat ilmu yang baru. Sebab itu ‘circle’ pun penting,” kata Hazama yang dilahirkan di Perak dan dibesarkan di Keramat, Kuala Lumpur itu.

ESOK: Bergelar penyanyi sementara untuk kumpulan Meet Uncle Hussain jadi titik tolak Hazama sertai AF9

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top