Pesawat bawa pelancong terhempas, 13 maut

Pesawat bawa pelancong terhempas, 13 maut

Lima: Sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong asing untuk menyaksikan tapak arkeologi Garisan Nazca (Nazca Lines) yang terkenal di Peru terhempas pada Sabtu, mengorbankan kesemua 13 orang di dalamnya, menurut polis.

Insiden berlaku sejurus selepas 1 tengah hari waktu tempatan (1800 GMT) selepas pesawat itu berlepas dari lapangan terbang di Pisco, yang terletak kira-kira 240 kilometer (km) di selatan ibu negara, Lima.

“Kami menerima maklumat bahawa 11 penumpang dan dua anak kapal terkorban,” kata Mejar Polis Jorge Andrade kepada pemberita di lokasi kejadian.

“Memandangkan tahap keparahan kemalangan ini, tiada mangsa yang selamat. Kami mengeluarkan empat mayat setakat ini,” kata Andrade, tanpa mendedahkan identiti mangsa.

Beliau juga tidak memberikan sebarang petunjuk awal mengenai punca kemalangan berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Peru akan menjalankan siasatan dan pegawai sudah berada di lokasi untuk mengumpul bukti.

Anggota bomba dan polis sedang bekerja di celah-celah bangkai pesawat yang remuk dan berasap, merujuk kepada gambar-gambar yang dimuat naik di Facebook oleh media tempatan.

Kementerian perdagangan luar mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa 11 penumpang itu adalah pelancong asing,” sambil menambah bahawa pihak kementerian akan hulurkan bantuan kepada kedutaan yang terbabit.

Radio RPP melaporkan bahawa tujuh warga Itali, dua warga Jerman dan dua warga Sepanyol terkorban.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top