MOSCOW – Satu letupan yang berlaku berhampiran sebuah kafe di tengah Moscow membunuh tiga orang dan mencederakan 21 yang lain, kata Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan (NAC), menurut laporan Agensi Berita Rusia, TASS.
Kementerian Dalam Negeri menyatakan letupan itu berlaku kira-kira 8.10 malam (05:10 pm GMT) berdekatan sebuah kafe berhampiran rumah nombor 1 di Dataran Kudrinskaya.
Menurut NAC, seorang wanita yang tidak dikenali cuba membawa masuk bahan letupan buatan sendiri ke dalam kafe itu namun seorang pengawal keselamatan menghalangnya.
Tiga orang terbunuh termasuk wanita dan pengawal keselamatan berkenaan serta seorang pelanggan manakala 21 mengalami kecederaan dalam pelbagai tahap keparahan.
Pembantu menteri kesihatan Alexey Kuznetsov berkata, bantuan sedang diberikan kepada yang cedera.
Penyiasat dan pakar kriminologi Jawatankuasa Penyiasatan sedang bekerja di lokasi letupan, kata Jawatankuasa Siasatan. – Bernama



