PUTRAJAYA: Apabila banjir besar melanda beberapa negeri pada musim tengkujuh lalu, ramai yang tidak menyedari antara ‘wira senyap’ yang membantu mengurangkan impaknya ialah alam semula jadi itu sendiri meliputi kawasan hijau, tanah lembap dan taman awam yang dirancang dengan teliti, menyerap limpahan air hujan, memperlahankan aliran dan menyejukkan persekitaran bandar.
Itulah wajah baharu landskap negara yang ingin diketengahkan menerusi Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 bertemakan ‘Landskap Lestari, Malaysia MADANI’, tema yang menegaskan bahawa landskap lestari adalah asas penting dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan alam sekitar.
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara (JLN), Mansor Mohamad berkata, salah satu objektif pemilihan tema sambutan tahun ini bertujuan mengubah persepsi masyarakat yang selama ini melihat landskap hanya sekadar elemen penghijauan dan hiasan.
“Landskap lestari bukan sekadar inisiatif penghijauan, tetapi merupakan pendekatan holistik yang mengimbangi pemeliharaan ekosistem dengan pembangunan fizikal secara mampan.
“Pendekatan ini juga menjadi strategi penting dalam memperkukuh pelancongan berasaskan alam semula jadi, sekali gus memelihara khazanah alam dan menjamin kelestariannya untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan negara, landskap perlu dilihat sebagai infrastruktur hijau yang mempunyai nilai strategik kepada negara.
Landskap bukan sahaja berfungsi untuk memperindah persekitaran, malah berperanan menyejukkan kawasan bandar, meningkatkan kualiti udara, mengurus air hujan secara semula jadi, menyediakan ruang rekreasi dan kesejahteraan awam, serta memelihara biodiversiti di kawasan bandar.
“Setiap ringgit yang dilaburkan dalam landskap yang dirancang dengan baik akan kembali kepada rakyat dalam bentuk persekitaran hidup yang berkualiti melalui udara lebih bersih, suhu bandar lebih rendah, risiko banjir berkurangan, ruang untuk meditasi dan komuniti yang lebih sihat,” ujarnya.
Keperluan menjadikan landskap sebagai infrastruktur hijau kini semakin mendesak, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan peningkatan kejadian bencana.
Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan kerugian akibat banjir sebanyak RM636.9 juta pada tahun 2025 yang melibatkan semua negeri di Malaysia.
Walaupun jumlah tersebut menurun berbanding RM933.4 juta pada tahun 2024, ia tetap memberi peringatan bahawa pelaburan dalam penyelesaian berasaskan alam semula jadi adalah jauh lebih berkesan dan menjimatkan berbanding kos pemulihan akibat bencana.
Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang memberi penekanan kepada pembangunan bandar mampan, kesejahteraan rakyat serta peningkatan daya tahan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Menurut beliau, selaras dengan Dasar Landskap Negara 2.0, fokus utama JLN kini adalah memperkasa pelaksanaan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (Nature-based Solutions, NbS) dalam perancangan dan pembangunan landskap negara.
Pendekatan ini memanfaatkan fungsi semula jadi ekosistem seperti tumbuh-tumbuhan, tanah dan badan air untuk meningkatkan daya tahan bandar terhadap perubahan iklim, mengurangkan risiko bencana serta memperkukuh keseimbangan ekologi.
Jelasnya, pelaksanaan NbS merangkumi pelbagai intervensi landskap, antaranya pembinaan taman hujan (rain garden) dan kawasan tadahan semula jadi bagi mengurus air larian permukaan, penanaman pokok teduhan untuk mengurangkan kesan pulau haba bandar, serta pembangunan koridor hijau yang menghubungkan habitat semula jadi dan memelihara biodiversiti di kawasan perbandaran.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan fungsi ekologi bandar, malah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat melalui persekitaran yang lebih selamat, selesa dan mampan.
Sebagai contoh, pembangunan taman-taman awam dan kawasan hijau di Putrajaya yang mengintegrasikan tasik, kawasan tadahan air serta penanaman pokok teduhan telah menyumbang kepada pengurusan air hujan secara semula jadi, di samping menyediakan ruang rekreasi berkualiti kepada masyarakat.
“Alam semula jadi sebenarnya adalah jurutera terbaik. Melalui Nature-based Solutions, kita biarkan ekosistem melakukan kerjanya… pokok menyejukkan bandar, tanah dan tumbuhan menyerap air hujan, kawasan hijau memulihkan biodiversiti. Tugas kita ialah merancang dengan bijak supaya fungsi semula jadi ini terpelihara dalam setiap pembangunan,” katanya.
Komitmen kerajaan terhadap penyediaan ruang hijau untuk rakyat jelas menerusi inisiatif pembangunan Taman Rekreasi MADANI.
Kerajaan menyasarkan pembinaan 1,000 Taman Rekreasi MADANI di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun iaitu sehingga 2034, dengan purata pembinaan 100 taman setiap tahun. Sehingga kini, sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI telah siap dibangunkan dalam tempoh 24 bulan bermula pada tahun 2024, dan jumlahnya dijangka meningkat kepada 316 menjelang Disember ini.
Sambutan HLN 2026 juga bergerak seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), di mana landskap dan alam semula jadi menjadi antara produk pelancongan paling berpotensi.
“Taman-taman awam, taman botani dan landskap warisan adalah produk pelancongan sedia ada yang belum digilap sepenuhnya. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Jabatan berhasrat supaya setiap taman menjadi destinasi tumpuan, bukan sekadar kawasan untuk dilalui semata-mata,” katanya.
Malaysia pastinya memiliki aset tersebut daripada Taman Botani Perdana di Ibu Negara yang berusia lebih seabad, Taman Saujana Hijau di Putrajaya yang menjadi tarikan fotografi, hinggalah rangkaian taman bandaran dan tasik di seluruh negara. Apa yang diperlukan ialah anjakan cara kita mengurus dan mempromosikannya daripada sekadar kemudahan awam kepada destinasi pelancongan yang dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, kejayaan beberapa taman ikonik dunia membuktikan landskap berkualiti mampu menjadi pemacu ekonomi pelancongan seperti Gardens by the Bay di Singapura yang menerima kira-kira 10.8 juta pengunjung setahun sejak dibuka pada 2012 dengan unjuran awal penjanaan sekitar S$1 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Selain menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan pembangunan pelancongan, Mansor berkata, industri landskap turut mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi hijau negara.
Industri ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada pengeluaran bahan tanaman dan florikultur, pembinaan serta penyelenggaraan landskap, perkhidmatan profesional, sehingga pembangunan teknologi dan inovasi yang menyokong pengurusan landskap secara mampan.
Menurut beliau, rantaian nilai tersebut melibatkan ribuan pengusaha tapak semaian, kontraktor landskap, arkitek landskap, pembekal bahan dan peralatan, penyedia teknologi serta pelbagai perusahaan kecil dan sederhana yang menyokong pembangunan landskap di seluruh negara.
Bagi memperkukuh pembangunan sektor ini, JLN kini sedang memuktamadkan Kajian Industri Landskap Malaysia bagi mengenal pasti saiz industri serta sumbangannya kepada ekonomi negara, peluang pekerjaan dan potensi pertumbuhan sektor sebagai asas kepada penggubalan rangka tindakan pembangunan industri landskap yang lebih berfokus serta berimpak tinggi.
Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan agenda pendigitalan sektor awam, JLN akan terus memperkukuh transformasi pembangunan dan pengurusan landskap melalui penerapan teknologi digital, automasi dan penyelesaian pintar.
Antara pendekatan yang juga sedang diteroka ialah pembangunan sistem pengurusan aset landskap secara digital serta penggunaan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan, pengurusan aset hijau dan penggunaan sumber secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha membangunkan landskap yang lestari tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif seluruh masyarakat.
Melalui inisiatif seperti Program Rakan Taman yang diperkenalkan sejak tahun 2013 serta Program Pembudayaan Landskap, JLN terus menggalakkan penglibatan komuniti dalam memelihara, mengurus dan menghidupkan taman-taman awam di kawasan masing-masing.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh semangat kesukarelaan, malah memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap aset hijau negara.
“Taman yang paling bernilai bukanlah taman yang paling mahal kos pembinaannya, tetapi taman yang benar-benar dimiliki dan dihargai oleh komuniti setempat. Apabila masyarakat merasakan taman itu milik mereka, mereka sendiri akan memastikan ia terus dipelihara, dimanfaatkan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Mansor berkata, Sambutan HLN 2026 akan berlangsung dari 6 Ogos hingga 9 Ogos 2026, bermula 8 pagi hingga 10 malam setiap hari, di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka.
Pelbagai aktiviti dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan seperti pameran, Larian HLN 2026, Kelas Dekorasi Cupcake, Kelas Terrarium, Pertandingan E-Sport, Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak, Pertandingan Ratu Kucing, Pembinaan Arca dari bahan kitar semula, Pertandingan Booth Industri Terbaik, Laman PBT dan Dialog Industri. – UTUSAN




