Perlis Culture Ride tarikan baharu, bantu promosi pelancongan negeri

Perlis Culture Ride tarikan baharu, bantu promosi pelancongan negeri

KANGAR: Berbasikal sambil melihat keindahan negeri dengan merentasi lokasi-lokasi pelancongan dan kawasan kampung dengan pemandangan memukau menjadi pengalaman berharga kepada para peserta Perlis Culture Ride 2026 yang berlangsung di sini semalam.

Program kayuhan yang melibatkan 160 peserta sejauh 37.5 kilometer (km) itu dianjurkan pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perlis dengan kerjasama Kemajuan Kraftangan Malaysia Perlis, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara zon Utara, Tourism Malaysia, MEP21 serta Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri.

Acara tersebut juga menjadi platform bagi mengangkat dan memperkenalkan kekayaan budaya, seni, warisan serta produk kraf negeri.

Disamping itu, program berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara agensi dalam mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan warisan.

Hadir sama memeriahkan acara itu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) juga diberi tanggungjawap sebagai penyelaras teknikal dan mempromosi penyertaan bagi program kayuhan berkenaan.

Menariknya, kayuhan berkenaan merupakan acara baharu dalam mempromosi keunikan kayuhan di Perlis sebagai negeri yang damai dan tenang, sesuai untuk aktiviti kayuhan selamat.

Malah, ia bukan sekadar kayuhan biasa tetapi mempromosi Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan yang melibatkan lokasi pilihan pelancongan sekitar Kuala Perlis, Sungai Baru, Sungai Padang dan Sanglang.

Presiden Trooper, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman selaku pengarah teknikal turut memberi jaminan akan terus membantu kerajaan negeri dalam memeriahkan pelancongan berbasikal negeri bagi menarik lebih ramai peminat sukan berbasikal ke Perlis sekali gus membantu melonjakkan lagi ekonomi setempat.-UTUSAN

Scroll to Top