Star City FC asah kuku di Hatyai

Star City FC asah kuku di Hatyai

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Skuad Star City FC (SCFC) bakal menjalani latihan pramusim di Thailand melalui program Jelajah Pramusim Hatyai Star City FC sebagai persiapan mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) untuk musim 2026/2027.

Jelajah pramusim luar negara ini akan bermula pada hari ini hingga 8 Ogos dengan jadual dua perlawanan diatur menentang kelab Thailand iaitu Songkhla FC dan Satun FC masing-masing pada 4 dan 8 Ogos ini.

Menurut media rasmi SCFC hari ini, skuad yang dikenali sebagai The Northern Stars ini kini dalam fasa mempertingkatkan tahap kecergasan dan mengukuhkan keserasian selain memantapkan lagi taktikal yang sedang diserapkan oleh Ketua Jurulatih Mehmet Durakovic.

“Jelajah Pramusim Hatyai Star City FC ini akan bermula secara rasmi hari ini iaitu dari 2 hingga 8 Ogos sebagai persiapan penting untuk musim ini.

“Fokus utama pasukan kini tertumpu sepenuhnya kepada membina tahap kecergasan, memantapkan taktikal, dan mengukuhkan lagi keserasian pasukan menjelang saingan getir Liga Super yang akan bermula tiga minggu dari sekarang.

“Pasukan akan menguji kemampuan dan keserasian menerusi dua perlawanan persahabatan antarabangsa yang kompetitif, bermula dengan aksi pada 4 Ogos menentang Songkhla FC pada jam 5 petang waktu Malaysia dan diikuti aksi kedua pada 8 Ogos menentang Satun FC 5 petang waktu Malaysia,” katanya.

Menerusi maklumat yang sama, aksi menetang Songkhla FC akan berlangsung di Songkhla FC Sports Complex, Songkhla.

Manakala aksi kedua menentang Satun FC pula akan berlangsung di Prince Songkhla University Stadium, Hatyai.

Untuk menghadapi musim baharu Liga M ini SCFC mengekalkan sebahagian besar tonggak utama musim lepas disamping memperkukuhkan lagi pasukan menerusi beberapa pemain tempatan antaranya Endrick Dos Santos dan juga pemain import berpengalaman seperti Zulfahmi Arifin, Pedro Santos Filho, Pedro Henrique, Rafael Vitor dan Noah River Leddel setakat ini.

Ujian pertama skuad Durakovic dalam saingan Liga Super ini dijangka sengit apabila bakal berentap menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 23 Ogos ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top