JAKARTA: Sebuah feri Indonesia terbakar ketika berada di laut pada Ahad, mengorbankan lima orang dan menyebabkan 41 lagi masih hilang.
Dalam kejadian itu, sebahagian penumpang terjun ke laut, menurut pihak berkuasa mencari dan menyelamat.
Seramai 225 orang berjaya diselamatkan dari feri berkenaan, menurut kemas kini terkini yang dikeluarkan pada sebelah petang oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Surabaya.
Menurut Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), sebahagian penumpang terjun ke laut sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal yang berada berhampiran.
Basarnas berkata, empat lagi kapal berada dalam keadaan bersedia berhampiran lokasi kejadian.
Namun, semua kapal itu tidak dapat menghampiri feri itu kerana risiko yang ditimbulkan oleh bahan mudah terbakar di atas kapal.
Agensi itu memaklumkan kapten feri telah menghubungi syarikat pengendali untuk melaporkan kebakaran ketika kapal tersebut dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur menuju ke Makassar, Sulawesi Selatan.
Bagaimanapun, kapten feri itu tidak lagi dapat dihubungi sejak laporan tersebut dibuat.
Basarnas berkata, operasi menyelamat yang lebih besar sedang digerakkan dari Surabaya ke lokasi kejadian, dengan perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira enam jam.
“Berdasarkan laporan awal dari lokasi kejadian, para penumpang sedang menunggu untuk dipindahkan oleh kapal-kapal yang berada berhampiran kawasan insiden,” kata pegawai kanan Kementerian Pengangkutan Indonesia, Muhammad Masyhud.- AFP




