Jangan mudah 'koyak', Wak Doyok akui kalis kecaman

Jangan mudah 'koyak', Wak Doyok akui kalis kecaman

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: “Sudah lali dan tidak pernah ambil pusing,” kata ikon fesyen dan pelakon, Wak Doyok mengenai persepsi sesetengah pihak yang menganggap platform media sosial seperti Threads bersifat toksik.

Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, 45, berkata sebagai figura awam, dia sudah biasa berdepan pelbagai bentuk kritikan mahupun komen negatif masyarakat sejak lebih dua dekad lalu.

Menurutnya, platform media sosial adalah ruang terbuka untuk berkongsi pandangan dan jangan mudah ‘koyak’

“Bagi saya, Threads memang tempat umum. Kita tak boleh nak sentap. Kalau tak mahu dikomen, tutup sahaja ruangan komen supaya orang hanya boleh tekan butang like.

“Tapi interaksi itu penting sebab kritikan secara tidak langsung boleh memperbetulkan keperibadian kita.

“Saya sudah biasa kena hentam sejak 15 hingga 20 tahun lalu, jadi memang dah kalis. Saya yakin rezeki itu Allah yang bagi, bukan manusia,” katanya.

Wak Doyok berkata, persekitaran toksik di media sosial sebenarnya bergantung kepada jenis kandungan yang dimuat naik oleh seseorang pengguna itu sendiri.

“Kalau hantaran kita positif dan membina, orang akan komen yang baik-baik. Tapi kalau kita mengajar orang memfitnah atau buat kejahatan, tentulah unsur toksik itu akan datang.

“Sebab itu saya tak pernah menyekat (block) akaun ‘haters’. Mereka tidak kenal kita secara peribadi.

“Malah, kalau ada yang menghantar mesej peribadi (DM) meluahkan rasa tidak puas hati, saya tetap balas dengan baik. Pusing-pusing akhirnya mereka jadi kawan dan penyokong kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Wak Doyok berkata, dia lebih selesa memberikan bantuan dalam bentuk peluang dan ilmu perniagaan kepada individu yang menghadapi kesukaran hidup berbanding kewangan semata-mata.

“Ramai yang minta bantuan, tapi kalau bagi duit, mereka akan minta lagi. Jadi saya beri jalan dan tunjuk cara macam mana nak keluar dari kemiskinan serta berniaga.

“Peluang di Malaysia ini banyak, cuma ramai yang tidak tahu jalurnya. Jadi kalau ada komen negatif, saya anggap seperti kawan-kawan bersembang saja.

“Cuma kalau ada yang keterlaluan atau maki hamun, saya hadkan (restrict) akaun mereka supaya tidak boleh komen lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top