am@hmetro.com.my
Kangar: Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung hantaran tular di media sosial mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Perlis berkaitan isu penganugerahan pingat dibebaskan dengan jaminan hari ini.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum tindakan pendakwaan dapat dilakukan.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan. Kita sedang tunggu laporan daripada pihak MCMC bergantung kepada berapa cepat (siasatan).
“Sekiranya betul (terdapat bukti yang cukup), barulah kita boleh tuduh (dakwa suspek di mahkamah),” katanya ketika dihubungi.
Semalam, media melaporkan polis menahan suspek berusia 37 tahun itu pada lewat petang bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Tangkapan ke atas suspek warga tempatan itu dibuat susulan enam laporan polis pada 31 Julai lalu berhubung hantaran terbabit.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Terdahulu, pada Khamis lalu, tular satu hantaran yang dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mempertikaikan pengurniaan pingat kebesaran diterima Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




