Azizulhasni raih tangga ke-10 acara 1,000m ujian masa

Azizulhasni raih tangga ke-10 acara 1,000m ujian masa

fadhli.ishak@nst.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang menutup tirai penampilannya di Sukan Komanwel dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-10 acara ujian masa 1,000 meter (m) lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow, hari ini.

Bersaing dalam acara yang bukan kepakarannya, Azizulhasni mencatat masa 1 minit 1.357 saat (s).

Pingat emas menjadi milik pelumba Australia, Leigh Hoffman yang turut memecahkan rekod temasya menerusi catatan 58.530s.

Pelumba England, Joseph Truman meraih perak dengan masa 59.525s, manakala seorang lagi wakil Australia, Tayte Ryan membawa pulang gangsa selepas merekodkan 59.684s.

Bagaimanapun, penampilan terakhir Azizulhasni di pentas Sukan Komanwel tetap dianggap berjaya apabila akhirnya meraih pingat emas acara keirin pada Jumaat lalu, sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan yang sekian lama diidamkannya.

Sebelum ini, Azizulhasni muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dalam final keirin di Delhi 2010, namun dilucutkan kemenangan selepas dibatalkan oleh komisar perlumbaan atas kesalahan menunggang secara berbahaya.

Susulan itu, rakan sepasukannya, Josiah Ng dinaikkan sebagai pemenang pingat emas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top