am@hmetro.com.my
Bintulu: Sebanyak 23 keluarga di Rumah Panjang Padang, Batu 37, Jalan Bintulu-Miri tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.31 petang sebelum sebuah jentera bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai.
Bagi mempercepatkan operasi pemadaman, bantuan turut digerakkan dari BBP Batu Niah, BBP Kidurong serta sebuah lori tangki air dari BBP Bintulu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah panjang sedang marak terbakar, dengan api merebak ke keseluruhan struktur bangunan.
“Pasukan bomba segera memulakan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki yang dilengkapi dua nozel, manakala bekalan air diperoleh daripada sumber air terbuka yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.50 petang sebelum anggota meneruskan kerja memadam sisa bara api, memeriksa struktur yang terbakar serta memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi mengesahkan tiada mangsa terbabit dalam kejadian berkenaan, sekali gus mengelakkan berlakunya kehilangan nyawa.
Sementara itu, beliau berkata, punca kebakaran serta jumlah sebenar kerugian yang dialami penghuni rumah panjang berkenaan masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




