Kaunter teknologi dijangka terajui Bursa Malaysia 

Kaunter teknologi dijangka terajui Bursa Malaysia 

PETALING JAYA: Kaunter berkaitan teknologi dijangka kembali menerajui Bursa Malaysia minggu ini sekiranya keputusan kewangan syarikat semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) di Amerika Syarikat (AS) terus mengatasi jangkaan, sekali gus menyokong sentimen pelabur global.

Perunding Pelaburan (Remisier) Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, selain teknologi, saham perbankan dan utiliti turut berpotensi menjadi pemacu utama pasaran susulan musim pengumuman keputusan kewangan suku kedua yang semakin rancak.

“Pelabur dijangka memberi perhatian kepada syarikat berwajaran tinggi serta kaunter yang mempunyai pendedahan kepada teknologi, utiliti, pusat data dan perbankan.

“Ini kerana keputusan serta prospek yang diumumkan berpotensi menjadi pemangkin kepada pergerakan harga saham dalam jangka pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, tumpuan pelabur global turut terarah kepada laporan kewangan beberapa syarikat utama seperti Palantir Technologies Inc., Advanced Micro Devices, Inc. (AMD), Super Micro Computer, Inc. (SMCI), Caterpillar Inc., The Walt Disney Company, Eli Lilly and Company serta Shopify Inc.

“Syarikat-syarikat ini dijangka memberi petunjuk terhadap permintaan AI, perbelanjaan korporat serta kekuatan ekonomi global.

Beliau berkata, pelabur turut memberi perhatian kepada tiga data ekonomi utama AS iaitu Data Gaji Bukan Perladangan (NFP), Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Sektor Pembuatan oleh ISM dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Sektor Perkhidmatan oleh ISM.

“Ketiga-tiga ini memberi gambaran mengenai kekuatan ekonomi negara itu serta boleh mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed),” jelasnya. 

Jeffry Azizi berkata, sebarang keputusan yang jauh berbeza daripada jangkaan berpotensi memberi kesan kepada sentimen pasaran global, termasuk Bursa Malaysia.

“Oleh itu, saya menjangkakan dagangan minggu hadapan masih bersifat selektif. 

“Sektor teknologi, perbankan dan utiliti dijangka terus menjadi fokus sekiranya laporan kewangan syarikat serta data ekonomi global menyokong sentimen pasaran.

“Dalam keadaan pasaran yang masih sensitif terhadap berita, pelabur disaran memberi keutamaan kepada syarikat yang mempunyai asas kukuh, pertumbuhan keuntungan yang mampan serta momentum pendapatan yang positif,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tiga kaunter daripada sektor semikonduktor, aluminium hijau dan perbankan menjadi perhatian pelabur minggu ini susulan potensi pemangkin daripada perkembangan industri serta jangkaan perubahan kadar faedah global.

Katanya, antara kaunter yang menjadi tumpuan ialah UWC Berhad dalam sektor semikonduktor dan teknologi perubatan, yang mencatat prestasi kukuh sebelum ini selepas menjadi antara saham berprestasi terbaik pada Julai 2025.

“UWC yang membekalkan komponen kepada pemain industri seperti Nvidia dan Intel bagi aplikasi peralatan ujian automatik (ATE) dijangka mendapat manfaat daripada kesinambungan pelaburan semikonduktor ke Malaysia serta peningkatan permintaan cip susulan perkembangan pesat pusat data.

“Selain itu, kaunter Press Metal Aluminium Holdings Berhad turut menjadi perhatian berikutan prestasinya yang meningkat 46.5 peratus setakat tahun ini.

“Ia disokong tema aluminium hijau yang semakin mendapat permintaan dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar,” katanya. 

Beliau berkata, kenaikan harga aluminium serta peningkatan penggunaan logam tersebut bagi pembangunan pusat data dijangka menjadi pemangkin kepada prestasi syarikat, dengan pelabur menantikan potensi penembusan paras rintangan baharu.

“Sementara itu, sektor perbankan turut mencuri perhatian menerusi kaunter seperti CIMB Group Holdings Berhad, susulan pengukuhan saham bank sekitar dua peratus minggu lalu.

“Sektor itu dijangka terus menerima sokongan daripada margin keuntungan yang masih kukuh, manakala potensi pemotongan kadar faedah oleh Fed AS pada September boleh membuka ruang kepada penilaian semula lebih tinggi bagi saham perbankan.

“Selain berpotensi mendapat manfaat daripada kitaran kadar, saham bank turut menjadi pilihan defensif kepada pelabur menerusi pulangan dividen yang menarik dengan sesetengah kaunter menawarkan hasil dividen melebihi lima peratus ketika pasaran berdepan risiko pembetulan” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top