SEREMBAN – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali menolak dakwaan bahawa kemenangan PN-BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpunca daripada politik perkauman.
Beliau sebaliknya berkata, keputusan itu merupakan isyarat jelas daripada rakyat yang membuat pilihan berdasarkan isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan janji yang didakwa tidak ditunaikan.
“Hakikatnya, rakyat bukan mengundi kerana warna kulit. Rakyat mengundi kerana harga barang, kos sara hidup dan janji yang tidak ditunaikan.
“Jika kerajaan hari ini benar-benar berjaya, mengapa berlaku Gelombang Biru? Mengapa semakin ramai yang berubah fikiran?” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial pada Isnin.
Muhammad Rafique berkata, kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain dengan majoriti 16,959 undi sukar dianggap semata-mata berpunca daripada sentimen perkauman.
“Sukar untuk mengatakan ini semata-mata soal perkauman. Ini jauh lebih tepat dibaca sebagai satu isyarat jelas daripada rakyat terhadap sebuah pentadbiran yang gagal memenuhi harapan mereka,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kekalahan Anthony Loke di DUN Chennah juga boleh dianggap sebagai faktor perkauman apabila sebahagian besar pengundi Cina didakwa tidak lagi memberikan sokongan kepada DAP.
Menurutnya, Gelombang Biru bukan lahir daripada kebencian, sebaliknya daripada kekecewaan terhadap kos sara hidup yang terus meningkat, ekonomi yang masih menghimpit dan janji-janji yang gagal dikotakan.
“Rakyat tidak minta perkara yang luar biasa. Mereka hanya mahu kehidupan yang lebih baik daripada semalam. Jika itu pun gagal diberikan, jangan salahkan rakyat bilamana mereka membuat pilihan alternatif.
“Tuduh rakyat bersifat perkauman mungkin dapat menenangkan hati sendiri. Tapi ia tidak akan ubah keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
“Dalam demokrasi, rakyat tidak pernah silap memilih. Silapnya pada pemimpin yang enggan faham mengapa rakyat tidak lagi memilih mereka,” katanya.



