hafidzuk@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga China didakwa menjadi dalang sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto selepas memperdaya rakan senegaranya sebanyak USDT30 juta (RM122.73 juta) dalam tempoh empat tahun sebelum melarikan diri ke Malaysia.
Mangsa yang mengetahui dia bersembunyi di negara ini kemudian menghantar wakil mereka bagi menuntut semula wang yang ditipu.
Bagaimanapun, ketika menuntut semula wang itu, lelaki terbabit bertindak membuat laporan polis Jumaat lalu di Balai Polis Tun HS Lee mendakwa beberapa individu memukul dan merompaknya.
Mendedahkan perkara itu, Pengerusi World Humanitarian Care Organization (WHCO), Datuk Seri Lai, 48, berkata, lelaki itu dipercayai ketua sindiket penipuan menghubunginya pada 15 Julai lalu mendakwa beg pinggangnya yang mengandungi kad bank, wang tunai RM40,000 serta pasport dirampas oleh empat rakan senegaranya.
Menurutnya, ketika itu beliau tidak mengetahui identiti sebenar lelaki itu, lalu mengiringinya ke sebuah unit kondominium di ibu negara untuk mengadakan perbincangan dengan lima warga China yang didakwa merampas beg pinggang itu.
Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu, kelima-lima individu berkenaan sebulat suara menafikan dakwaan itu dan sebaliknya menuduh lelaki itu sebagai dalang sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto yang aktif sejak 2022, sehingga menyebabkan mangsa di China mengalami kerugian melebihi USDT30 juta (RM122.73 juta).
“Mereka juga mangsa penipuan dan hadir ke Malaysia sebagai wakil kepada sekumpulan mangsa untuk menuntut semula wang yang ditipu. Beg pinggang itu sebenarnya ditinggalkan olehnya ketika dia meninggalkan sesi rundingan itu, bukannya dirampas oleh mereka,” katanya.
Lai berkata, beliau kemudian mengiringi semua pihak membuat laporan polis dan dimaklumkan bahawa lima warga China terbabit sudah pun membuat laporan terhadap Li pada 17 Julai lalu kerana disyaki melakukan penipuan.
Beliau berkata, kedua-dua pihak bertemu sekali lagi pada keesokannya bagi tujuan rundingan, namun lelaki itu dipercayai bertindak meninggalkan lokasi secara tiba-tiba kerana berasa tertekan, sebelum menghilangkan diri tanpa dapat dihubungi.
“Ketika itulah saya mula percaya bahawa dia bukan mangsa, sebaliknya berkemungkinan besar dalang sindiket penipuan itu.
“Saya juga membuat semakan sendiri dan dia dipercayai dikehendaki pihak berkuasa China kerana kes penipuan sebelum melarikan diri ke Thailand dan kemudian memasuki Malaysia untuk bersembunyi,” katanya.
Katanya, lelaki terbabit juga membuat laporan polis Jumaat lalu, konon diperas ugut rakan senegara dan dipaksa memindahkan USDT2.9 juta (RM11.83 juta) ke akaun lain.
“Saya percaya laporan polis itu dibuat semata-mata untuk mempercepatkan proses mendapatkan semula pasportnya yang dirampas pihak berkuasa supaya dia boleh meninggalkan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shazali, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




