Kerajaan bakal perkenal Akta E-Dagang baharu

Kerajaan bakal perkenal Akta E-Dagang baharu

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan bakal memperkenalkan Akta E-Dagang baharu bagi memperkukuh kawal selia sektor perdagangan digital termasuk melindungi peniaga tempatan dan pengguna dalam perkembangan ekonomi atas talian yang semakin pesat.

Akta itu sekali gus akan melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengguna tempatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keperluan akta itu semakin penting susulan peningkatan aktiviti perdagangan digital rentas sempadan yang menimbulkan beberapa isu berkaitan pematuhan penjual asing, keselamatan produk dan persaingan.

Katanya, Jemaah Menteri sudah bersetuju dengan dasar penggubalan akta berkenaan selain mewujudkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Melalui penggubalan akta ini, kerajaan akan meneliti secara menyeluruh aspek tanggungjawab platform e-dagang, transaksi rentas sempadan, pematuhan penjual asing, perlindungan pengguna, ketelusan maklumat penjual dan produk, mekanisme penyelesaian pertikaian serta kaedah penguatkuasaan terhadap entiti yang tidak mempunyai kehadiran fizikal di Malaysia.

“Pada masa sama, kepentingan PMKS dan peruncit tempatan akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat bersaing dalam ekosistem perdagangan digital yang lebih adil dan mampan,” katanya dalam ucapan penangguhan mesyuarat di Dewan Negara di sini, hari ini.

Difahamkan, ucapan berkenaan dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, pendekatan kerajaan dalam menangani isu perdagangan digital turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi berkaitan termasuk aspek percukaian, kastam, persaingan, standard produk dan perlindungan pengguna.

Mengulas dakwaan mengenai amalan penetapan harga pemangsa atau ‘predatory pricing’, beliau berkata, penawaran harga rendah tidak boleh dijadikan ukuran tunggal bagi menentukan berlaku atau tidak amalan antipersaingan.

Sebaliknya, katanya, penilaian perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk struktur kos sebenar, sumber pembiayaan, kedudukan pasaran, tempoh harga rendah ditawarkan dan kesannya kepada pesaing.

“Kerajaan kekal dengan dasar ekonomi pasaran terbuka yang menggalakkan persaingan sihat, namun tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan pasaran sehingga menjejaskan pengguna dan peniaga tempatan.

“Kerajaan tidak memilih antara kepentingan pengguna dan peniaga tempatan. Pendekatan yang diambil adalah untuk memastikan kedua-duanya terus dilindungi dalam ekosistem perdagangan digital yang terbuka, kompetitif dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, KPDN turut mengkaji penambahbaikan Garis Panduan Penyertaan Asing dalam Sektor Perdagangan Pengedaran (WRT) bagi memastikan pelaburan asing terus menyumbang kepada ekonomi negara tanpa menjejaskan daya saing peruncit tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top