Proses pemeriksaan bagasi bukan seliaan AKPS

Proses pemeriksaan bagasi bukan seliaan AKPS

PETALING JAYA: Proses pemeriksaan dan saringan bagasi menerusi penggunaan pengimbas keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipantau oleh pegawai Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) di bawah kendalian Malaysia Airports.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan pegawai agensi di bawah AKPS iaitu Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak terbabit dalam proses pemeriksaan melalui mesin pengimbas di KLIA.

“Seperti yang saya jelaskan dalam sidang akhbar petang tadi, dapatan awal mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dikesan ketika bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum dibenarkan dibawa menaiki pesawat.

“Bagasi berkenaan telah melalui semua prosedur pemeriksaan dan melepasi saringan yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bagi mengenal pasti punca bagaimana dadah seberat 26 kilogram itu berjaya melepasi pemeriksaan mesin pengimbas yang dilengkapi sistem berteknologi tinggi.

Mohd Shuhaily namun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan secara lebih terperinci kerana dikhuatiri mampu menjejaskan siasatan pihak polis.

“Kita sedia maklum, bahawa pihak berkuasa di Indonesia, telah mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika juruterbang berkenaan ditahan pada malam 28 Julai lalu namun konsep undang-undang di negara berkenaan dengan Malaysia adalah berbeza,” jelasnya.

Ketika ditanya, adakah unsur ‘counter setting’ turut berlaku dalam kes ini, Mohd Shuhaily berkata, perkara itu hanya boleh diketahui apabila siasatan oleh pihak polis selesai dijalankan.

“Pada saya, kami di AKPS telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dan seperti yang saya jelaskan bahawa pihak kami tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen penyeludupan.

“Malah, berdasarkan rekod sebelum ini, AKPS turut mengambil tindakan terhadap pegawai yang dikesan terbabit dalam komplot dengan sebarang elemen penyeludupan dan kemasukan warga asing secara salah,”ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Shuhaily, meminta orang ramai memberikan ruang kepada pihak polis melaksanakam siasatan dalam mengenalpasti pihak atau individu yang bertanggungjawab bersekongkol dalam kes berkenaan.-UTUSAN

Scroll to Top