MOM sokong PABM mohon peruntukan tahunan RM1 juta daripada KBS

MOM sokong PABM mohon peruntukan tahunan RM1 juta daripada KBS

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi mendapatkan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sokongan itu diberikan sebagai penghargaan atas kejayaan luar biasa kem angkat berat negara selain memperkukuhkan lagi pembangunan sukan berkenaan di Malaysia.

Menurut beliau, permohonan tersebut amat bertepatan dan berasas memandangkan sukan angkat berat telah membuktikan keupayaannya sebagai antara prospek utama pingat emas negara di pentas antarabangsa.

“Komitmen kewangan yang berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum kejayaan ini, meningkatkan kebajikan atlet serta melahirkan generasi juara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sokongan itu menyusul selepas skuad angkat berat negara mempamerkan prestasi cemerlang pada Temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang barusahaja melabuhkan tirainya.

Pada temasya berkenaan, skuad angkat berat mencipta pencapaian bersejarah apabila menyumbang keseluruhan tujuh pingat kepada Kontinjen Malaysia iaitu lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

PABM juga telah dianugerahkan Trofi Trafalgar yang berprestij sebagai Pasukan Angkat Berat Lelaki Terbaik Secara Keseluruhan pada Mesyuarat Persekutuan Angkat BeratKomanwel di Hilton Glasgow, pada Jumaat.

Mohamad Norza turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada PABM di atas pengiktirafan antarabangsa yang diterima hasil daripada kejayaan diGlasgow.

“Kejayaan bersejarah ini membuktikan visi, komitmen dan perancangan strategik yang jelas oleh kepimpinan PABM yang diterajui dengan penuh dedikasi oleh Presidennya, Datuk Ayub Rahmat.

“Ia juga hasil kerja keras barisan pemegang jawatan, jurulatih, atlet, penaja dan rakan strategik yang sentiasa berdedikasi,” ujarnya.

Scroll to Top