Malaysia seru kuasa besar hormati undang-undang antarabangsa

Malaysia seru kuasa besar hormati undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan keamanan dan kestabilan serantau merupakan faktor penting kepada pembangunan negara kerana akan mewujudkan kerjasama serta keyakinan kepada pelaburan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu Asia Tenggara mesti terus kekal sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Menurutnya, ZOPFAN bukanlah suatu konsep baharu bagi Malaysia malah merupakan inisiatif yang dicetuskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Pada tahun 1971, ketika dunia berada dalam era Perang Dingin dan persaingan sengit kuasa-kuasa besar, Malaysia telah mengemukakan gagasan untuk meneutralkan Asia Tenggara.

“Lebih lima dekad kemudian, visi tersebut masih kekal relevan bagi rantau Asia Tenggara. Kita merupakan antara rantau yang paling pelbagai di dunia, dihuni oleh masyarakat yang berbeza budaya, agama, sistem politik dan tradisi.

“Keamanan telah membolehkan kepelbagaian berkembang dan mewujudkan keyakinan untuk pelaburan, kerjasama serta pembangunan. Dalam masa sama ia membolehkan ASEAN muncul sebagai antara organisasi serantau yang paling berjaya di dunia,” katanya ketika berucap pada Persidangan International Military Law and Operations (MILOPS) ke-37 2026 di Kuala Lumpur pada Isnin.

MOHAMED KHALED

MOHAMED KHALED

Persidangan MILOPS ke-37 2026  yang berlangsung dari 3 hingga 6 Ogos itu dihadiri pemimpin kanan tentera dan pertahanan dari 30 buah negara serta wakil organisasi antarabangsa.

Dianjurkan oleh US Pacific Command (US PACOM) dengan kerjasama rapat Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, tema MILOPS 26 pada tahun ini ialah From the seabed to space: Advancing, security, freedom and prosperity for all across the Indo-Pacific.

Tambah Mohamed Khaled, tujuan kewujudan angkatan tentera bukanlah untuk berperang atau mencetuskan konflik sebaliknya memastikan ia tidak perlu berlaku.

Jelasnya, apabila berdepan sebarang pertikaian, penyelesaiannya hendaklah diusahakan melalui dialog, pengantaraan dan diplomasi secara aman, bukannya melalui peperangan.

“Kehadiran anggota dan kekuatan ketenteraan tidak seharusnya dilihat sebagai lambang kekuasaan atau intimidasi.Peringatan yang sama juga saya tujukan kepada kuasa-kuasa besar dunia yang memiliki keupayaan ketenteraan yang signifikan.

“Malaysia melihat anda sebagai penjaga keamanan dan kestabilan dunia.Namun, pengiktirafan besar datang bersama harapan dan tanggungjawab yang besar.

“Kami mengharapkan agar semua pihak berbuat demikian dengan menghormati undang-undang antarabangsa dan berpegang teguh kepada sistem berasaskan peraturan secara konsisten, bukannya secara terpilih,” ulasnya.

Scroll to Top