am@hmetro.com.my
Kuantan: Tiga beting pasir yang muncul di sepanjang Kuala Cherok Paloh, di sini pada Monsun Timur Laut (MTL) menimbulkan kesulitan kepada lebih 60 nelayan Kampung Tanjung Selangor untuk mengemudi bot keluar masuk ke laut bagi menangkap ikan.
Setiap kali melalui kawasan muara itu, mereka terpaksa mengemudi dengan berhati-hati dan pada waktu tertentu terpaksa menolak bot bagi mengelak tersangkut pada beting pasir yang boleh merosakkan enjin.
Ketua Jaringan Nelayan Tanjung Selangor, Zulkanain Jusoh, 63, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, malah tembok pemecah ombak yang dibina sepanjang pesisir pantai tidak banyak membantu mengatasi masalah berkenaan.
Katanya, mereka kini terpaksa menunggu air laut pasang pada awal pagi untuk ke laut bagi memudahkan bot dikemudi keluar dan akan pulang sejam atau dua jam sebelum air laut surut.
“Jika air surut, maka terpaksa tolak bot sejauh kira-kira dua kilometer. Muara Kuala Cherok Paloh ini bukan hanya cetek, beting pasir yang ada memerlukan nelayan berhati-hati.
“Sebelum ini projek menyedut pasir sudah dilakukan namun usaha mendalamkan muara ini hanya berjaya dalam tempoh singkat sahaja. Tiba musim tengkujuh, episod muara cetek akan berulang,” katanya ketika ditemui.
Zulkanain berkata, setiap kali ada bot nelayan tersangkut di beting pasir, mereka akan bergotong-royong menolak bot hingga dapat dilabuhkan di jeti.
“Sebelum ini ada pihak memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah ini namun usaha itu belum nampak hasilnya,” katanya.
Sementara itu nelayan, Kamaruzaman Othman, 45, berkata, masalah hakisan perlu ditangani bagi mengelak pembentukan beting pasir dan isu muara cetek terus berlarutan.
Katanya, pihak berkuasa juga mungkin boleh mewujudkan laluan keluar masuk baharu buat nelayan ke laut termasuk memasang batu pemecah ombak di sekitarnya.
“Saya merayu pihak berkuasa supaya datang melihat sendiri masalah yang dihadapi kami. Lokasi Kuala Cherok Paloh ini terletak antara Kuantan dan Pekan, secara tidak langsung boleh menjejaskan pembangunan sekitar.
“Kami ini mangsa yang terus berjuang mencari pendapatan di tengah laut untuk menyara keluarga,” katanya yang lebih 25 tahun menjadi nelayan pantai.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




