Trump mahu beri Iran 'peluang terakhir'

Trump mahu beri Iran 'peluang terakhir'

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau mahu memberi Iran “peluang terakhir”, sambil mendakwa rundingan masih berlangsung meskipun dinafikan Tehran, lapor Anadolu Ajansi.

“Iran tidak mahu diserang dan mereka berkata mahu berunding,” kata Trump kepada pemberita di Pejabat Oval.

“Kami sedang berunding atas permintaan Iran, dengan sokongan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan khususnya Qatar, selain beberapa negara lain.

“Ini peluang terakhir untuk mereka menandatangani satu dokumen yang baik,” kata Trump.

Ketika ditanya sama ada rundingan dengan Iran telah dihentikan, Trump berkata: “Rundingan sedang berlangsung sekarang.”

Trump berkata rundingan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama tertumpu kepada pembukaan semula Selat Hormuz, manakala fasa kedua membincangkan keupayaan nuklear Iran.

“Kami sedang membincangkan mengenai selat itu, pembukaannya, dan memastikan ia dibuka sepenuhnya seawal esok. Itu fasa pertama.

“Dalam fasa kedua, kami akan membincangkan keupayaan nuklear,” kata Trump.

Ketika ditanya lokasi rundingan, Trump berkata perkara itu akan diputuskan pada “hari ini atau esok”, dengan perbincangan akan dilaksanakan segera.

Beliau turut berkata AS tidak akan membenarkan Iran mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz.

“Tiada bayaran akan dikenakan. Kami langsung tidak membincangkan perkara itu,” kata beliau.

Trump berkata harga minyak akan turun selepas AS “menyelesaikan urusan dengan Iran”, sambil mendakwa pengeluar minyak utama AS, ExxonMobil dan Chevron, meraih keuntungan terlalu besar.

“Apabila anda melihat sebuah syarikat mencatat keuntungan 12 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, mereka sepatutnya mengembalikan sebahagian daripadanya kepada rakyat dan menurunkan harga runcit serta harga pengguna. Keuntungan mereka terlalu besar,” kata Trump.

Sementara itu, Iran pada Isnin menegaskan bahawa negara itu tidak terlibat dalam rundingan dengan AS dan sedang bekerjasama dengan Oman untuk mewujudkan “laluan sementara” di Selat Hormuz bagi memastikan pelayaran selamat melalui laluan strategik berkenaan.

“Perbincangan kami dengan Oman ketika ini tertumpu kepada usaha memastikan kapal dapat melalui Selat Hormuz dengan selamat,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei pada sidang media.

Baqaei menolak laporan mengenai rundingan antara Tehran dan Washington dengan berkata: “Kami tidak mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat.”

Sejak beberapa minggu lalu, AS dan Iran saling melancarkan serangan ketenteraan, dengan Washington menyerang sasaran di Iran, manakala Tehran membalas dengan menyasarkan apa yang disifatkannya sebagai kemudahan dan aset ketenteraan AS di beberapa negara Arab khususnya Jordan, Bahrain dan Kuwait.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top