mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perancang tengah Harimau Malaya, Endrick Dos Santos menitipkan pesanan penuh semangat kepada rakan sepasukan menjelang aksi penentuan menentang Filipina dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Perlawanan itu menjadi penentu peluang skuad negara untuk melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan dilihat sebagai laluan paling selamat buat anak buah Tan Cheng Hoe meneruskan cabaran.
Malaysia ketika ini mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Myanmar dan Laos sebelum tewas 0 2 kepada Thailand, Sabtu lalu.
Dos Santos tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu selepas mengalami kecederaan.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, pemain naturalisasi itu berkata, walaupun tidak dapat membantu di atas padang, sokongan dan semangatnya tetap bersama skuad Harimau Malaya.
“Nikmati hari hari yang menggembirakan, tabah menghadapi hari hari yang menyedihkan dan sentiasa yakin bahawa setiap perkara buruk pasti akan berlalu. Selangkah demi selangkah, kita semakin menghampiri matlamat yang ingin dicapai.
“Saya tidak dapat membantu di atas padang, tetapi segala semangat positif saya sentiasa bersama pemain. Ayuh, kita berjuang bersama demi negara,” tulisnya.
Hantaran itu turut menerima reaksi daripada beberapa rakan sepasukan termasuk Syafiq Ahmad, Sergio Aguero dan Paulo Josue yang memberikan sokongan menjelang aksi penting berkenaan.
Dos Santos mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia membelasah Laos 4 0, Selasa lalu, perlawanan yang menyaksikan dia turut mencetak satu gol.
Dalam perkembangan sama, status pertahanan kanan Jimmy Raymond untuk diturunkan menentang Filipina masih menjadi tanda tanya selepas turut mengalami kecederaan ketika aksi menentang Thailand.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pasukan perubatan sedang memantau perkembangan pemain berusia 30 tahun itu sebelum keputusan mengenai kesediaannya dibuat.
“Saya berharap kecederaan beliau tidak serius dan boleh diturunkan ketika menentang Filipina pada Sabtu ini.
“Jika Jimmy tidak dapat diturunkan, kami akan menilai pilihan yang ada bagi mengisi kekosongan di bahagian pertahanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




