Kad Debit-i Visa MBSB Bank kini di Samsung Wallet, Google Pay

Kad Debit-i Visa MBSB Bank kini di Samsung Wallet, Google Pay

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad memperkukuh agenda pendigitalan perbankan apabila Kad Debit-i Visa MBSB Bank kini boleh digunakan menerusi Samsung Wallet dan Google Pay, sekali gus menawarkan kemudahan pembayaran tanpa sentuh yang lebih pantas, selamat dan praktikal kepada pelanggan.

Menerusi integrasi tersebut, pelanggan boleh menambahkan Kad Debit-i Visa MBSB Bank ke dalam Samsung Wallet atau Google Pay untuk membuat pembayaran tanpa sentuh di semua premis yang menerima Visa di dalam dan luar negara tanpa perlu membawa kad fizikal.

Setiap transaksi disahkan melalui ciri keselamatan pada peranti pengguna, manakala teknologi tokenisasi digunakan bagi menggantikan maklumat sebenar kad dengan pengenal digital unik, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pembayaran.

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan MBSB Bank, Usman Ghouse berkata, perubahan corak pembayaran pengguna memerlukan institusi kewangan menawarkan lebih banyak pilihan pembayaran digital yang mudah, pantas dan selamat.

“Cara pengguna membuat pembayaran berubah dengan pantas. Oleh itu, bank perlu menyediakan pelbagai pilihan pembayaran yang mudah dan selamat serta boleh digunakan melalui peranti harian pelanggan.

“Dengan menjadikan Kad Debit-i Visa MBSB Bank tersedia di Samsung Wallet dan Google Pay, kami memberikan kemudahan ini kepada lebih ramai pelanggan dalam menjalani urusan harian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pengenalan kemudahan itu melengkapkan ekosistem perbankan digital MBSB Bank yang semakin berkembang menerusi aplikasi M Journey.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah Global Easy Transfer (GET) yang dikuasakan Wise bagi membolehkan pelanggan membuat pindahan wang ke luar negara pada kadar pertukaran asing yang kompetitif, selain PrimeGold-i, platform pelaburan emas digital yang membolehkan pelanggan memulakan pelaburan serendah RM10,” katanya.

Dalam pada itu, MBSB Bank berkata, pihaknya terus memperluaskan keupayaan pembayaran digital dalam tempoh beberapa bulan akan datang menerusi pengenalan Apple Pay bagi menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran tanpa sentuh kepada pelanggan.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Mobile eXperience Samsung Malaysia Electronics, Matthew Ng berkata, kerjasama dengan MBSB Bank membolehkan lebih ramai pengguna menikmati pengalaman pembayaran digital yang lebih lancar melalui Samsung Wallet.

“Samsung Wallet berkembang daripada sekadar dompet digital kepada pembantu pintar untuk urusan harian. Kerjasama ini membolehkan pelanggan menikmati pembayaran yang pantas, mudah dan selamat menggunakan peranti Galaxy,” katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan Samsung Wallet, MBSB Bank turut melancarkan kempen Tap Smart. Win Big bermula 18 Jun hingga 31 Ogos 2026.

Pelanggan yang menambahkan Kad Debit-i Visa MBSB Bank ke Samsung Wallet dan melengkapkan transaksi tanpa sentuh pertama yang layak akan menerima baucar ZUS Coffee bernilai RM5, manakala pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM30 dalam satu transaksi layak menyertai cabutan hadiah Samsung Galaxy Tab, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pengumuman itu dibuat sempena majlis penyampaian hadiah kempen Simpan Berganda Menang Bergaya 5.0 (SBMB 5.0).

Pada majlis sama, MBSB Bank turut menyampaikan hadiah jam tangan mewah buatan Switzerland kepada pemenang kategori Early Bird serta sebuah Jetour T2 kepada pemenang Hadiah Kebangsaan bagi tempoh kelayakan suku kedua kempen dari 1 April hingga 30 Jun 2026.

Kempen SBMB 5.0 yang berlangsung sehingga 31 Disember 2026 masih menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk GWM Tank 300, GWM Tank 500, Suzuki Jimny lima pintu, pakej percutian ke Maldives untuk dua orang serta ganjaran wang tunai bulanan. – UTUSAN

Scroll to Top