Tokyo: Tiga singa betina di Taman Zoologi Tama di barat Tokyo, mati akibat disyaki mengalami penyakit berkaitan haba ketika Jepun berdepan suhu musim panas yang melampau, lapor BBC.
Pihak zoo memaklumkan, bedah siasat menunjukkan singa berusia antara tiga hingga 15 tahun itu mengalami dehidrasi dan kegagalan pelbagai organ, sekali gus menunjukkan tekanan haba dipercayai menjadi punca kematian.
Bagaimanapun, punca sebenar kematian hanya dapat dipastikan selepas keputusan ujian diperoleh.
Menurut zoo itu, Mugi yang berusia tiga tahun hilang selera makan pada 19 Julai sebelum tidak mampu berdiri pada keesokan harinya, namun mati pada 28 Julai walaupun diberikan rawatan.
Dua lagi singa betina, Ichigo berusia 11 tahun dan Luena berusia 15 tahun, masing-masing mati pada 31 Julai dan Ahad lalu.
Zoo itu turut memaklumkan, tiga lagi singa, iaitu dua jantan dan seekor betina, masih tidak sihat serta tidak mampu berdiri, manakala empat lagi menunjukkan tanda pemulihan.
Enam lagi singa berada dalam keadaan sihat dan akan ditempatkan di kandang khas yang dilengkapi penyaman udara mudah alih serta kipas industri.
Pakar Perubatan Veterinar Universiti Tokyo, Prof Hideaki Karaki berkata, kelembapan tinggi menyukarkan singa mengawal suhu badan kerana haiwan itu menurunkan suhu badan melalui penyejatan kelembapan daripada saluran pernafasan dan bukannya berpeluh.
Beliau berkata, suhu badan singa tidak dapat diturunkan secukupnya dalam keadaan kelembapan tinggi.
Katanya, peningkatan suhu secara mendadak pada pertengahan Julai juga mungkin menyebabkan haiwan itu tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan cuaca panas.
Zoo Tama yang menempatkan kira-kira 260 spesies haiwan menggantung pameran singa dan perkhidmatan bas ala safari bulan lalu susulan gelombang haba mengejut yang menyebabkan haiwan itu jatuh sakit.
Lebih 43,000 orang di seluruh Jepun dimasukkan ke hospital akibat strok haba sepanjang musim panas tahun ini.
Kerajaan Jepun mengeluarkan amaran cuaca panas dan menggesa penduduk mengambil langkah untuk kekal sejuk, termasuk menggalakkan pekerja pejabat memakai pakaian yang lebih kasual.
© New Straits Times Press (M) Bhd




