Sudah tiba masanya UMNO berlaku jujur, akui kegagalan tadbir urus TH – KJ

Sudah tiba masanya UMNO berlaku jujur, akui kegagalan tadbir urus TH – KJ

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) perlu berterus terang mengakui kelemahan dalam pengurusan Tabung Haji (TH) ketika parti itu menerajui kerajaan, susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan, operasi dan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sudah tiba masanya parti berkenaan bersikap terbuka terhadap kelemahan yang berlaku, khususnya membabitkan aspek tadbir urus TH, berbanding terus mempertahankan rekod pentadbirannya.

“Tiba masa untuk UMNO bersikap jujur tentang kegagalan tadbir urus dalam TH,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap, malam tadi.

Beliau berkata, terdapat segelintir ahli UMNO yang cuba mempertahankan parti dengan berhujah bahawa laporan RCI tidak menemukan bukti penyelewengan dana oleh mana-mana pemimpin politik. Namun, katanya, hujah itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menutup kelemahan yang dikenal pasti dalam laporan berkenaan.

Khairy turut menyentuh alasan sesetengah pihak yang mendakwa TH masih mampu mengagihkan hibah kepada pendeposit sebagai bukti institusi itu berada dalam keadaan baik. Bagaimanapun, beliau menyifatkan hujah tersebut sebagai satu “pertahanan lemah” yang hanya bertujuan menghalalkan kelemahan tadbir urus yang berlaku.

“Kalau kita mengakui ada kelemahan dan kegagalan urus tadbir dan juga tatakelola dalam Tabung Haji, orang akan kata, ‘Sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit-bibit perubahan, untuk bawa Umno ke arah pemulihan sebab mereka akui (kekurangan mereka)’.
“Kita tidak boleh menggunakan alasan sedemikian untuk menyembunyikan perkara ini. Apa kelemahan dan kegagalan kerajaan, kita mesti akui,” jelasnya.

Laporan RCI setebal 252 muka surat yang menyiasat pengurusan serta operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 telah dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum pada Rabu lalu. Laporan itu sebenarnya disiapkan oleh suruhanjaya berkenaan pada Julai 2022 sebelum diputuskan untuk didedahkan.

Antara dapatan utama RCI ialah TH didakwa menyembunyikan kedudukan sebenar kewangannya selama beberapa tahun. Laporan itu menyatakan institusi berkenaan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, sedangkan mengikut piawaian perakaunan yang sepatutnya, TH seharusnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion, sekali gus menunjukkan jurang hampir RM4.8 bilion.

Sementara itu, hos bersama Khairy dalam podcast berkenaan, Shahril Hamdan, berpandangan pendedahan laporan RCI memberi ruang kepada UMNO untuk membuktikan kematangan politik dengan mengakui kelemahan yang pernah berlaku.

“Bila ada peluang untuk buat benda elok, anda tak buat, dunia atau Tuhan ada cara untuk menghukum anda. Jadi, jangan lepaskan peluang yang ada,” ucapnya.

Artikel lain: KJ tegur jangan jadikan UMNO, BN sebagai ‘kambing hitam’ bila gagal tunai janji

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, kejayaan parti dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan proses pembaharuan dalaman atau enggan memohon maaf atas kesilapan lalu.

Beliau turut mengingatkan bahawa sokongan politik yang dinikmati UMNO ketika ini tidak semestinya berkekalan sekiranya parti gagal mengambil peluang untuk melakukan perubahan.

Sumber: YouTube Keluar Sekejap

Scroll to Top