Oh! Negara
Siasatan RCI Tabung Haji menyaksikan bekas CEO dan CFO ditahan SPRM berkaitan pembelian saham bernilai RM370 juta.
Siasatan khas SPRM terhadap hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja RCI Tabung Haji terus berkembang apabila empat individu kini sudah ditahan bagi membantu siasatan dalam beberapa kes berasingan.
Ia bukan sahaja melibatkan projek bernilai jutaan ringgit, malah turut menyentuh urusan pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Dua kes Tabung Haji bernilai RM8 juta

Antara individu terawal ditahan ialah seorang pengarah syarikat reka bentuk yang disyaki memberi rasuah RM300,000 kepada bekas Ketua Pegawai Operasi sebuah badan berkanun.
Rasuah itu dipercayai diberikan sebagai balasan untuk mendapatkan projek bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta antara 2014 hingga 2018.
Bayaran berkenaan didakwa dibuat dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO terbabit dengan nilai keseluruhan kira-kira RM300,000.
Seorang lagi suspek merupakan bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih getah bernilai kira-kira RM8 juta di dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat badan berkanun berkenaan antara 2015 hingga 2017.
Saham RM370 juta jadi tumpuan

Siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan bekas Ketua Pegawai Kewangan sebuah syarikat milik badan berkanun itu.
Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun berkenaan disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Kedua-duanya ditahan pada jam 6.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman turut mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.- Katanya.
Bekas CEO dan CFO hadir semula beri keterangan

Bagaimanapun, bekas CEO dan CFO berkenaan dibebaskan pada malam tadi atas faktor kesihatan. Mereka dijadualkan hadir semula ke SPRM pada jam 10 pagi ini bagi menyambung proses rakaman percakapan.
Sementara itu, pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang terbabit ditahan pada malam kelmarin ketika masing-masing hadir memberi keterangan kepada SPRM.
Kesemua penahanan itu dibuat susulan siasatan khas SPRM yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kerajaan baru-baru ini.
Kongsikan artikel ini
Kongsikan artikel ini jika anda rasa lebih ramai patut mengetahuinya.
BULETIN OH! MEDIA
Baca Yang Paling Best Je.
Berita terbaik terus ke e-mel anda setiap malam. Percuma!
Pautan artikel telah disalin.
Hafizal adalah penulis sepenuh masa di Oh! Media yang sentiasa hadir menemani anda, terutama di saat-saat lewat malam. Untuk mendapatkan berita terkini dan cerita viral, jangan lupa cari nama Hafizal—sentiasa ada untuk menghibur dan menginformasikan anda!




