Surabaya: Angka terakhir jumlah kematian dalam kejadian feri terbakar di perairan Pulau Madura, Ahad lalu, disahkan lima orang, berikutan kemas kini terakhir daripada pihak berkuasa selepas pasukan penyelamat Indonesia berjaya memindahkan 233 penumpang dan anak kapal yang terselamat.Menurut pihak berkuasa, feri itu sedang dalam perjalanan dari Surabaya di wilayah Jawa Timur menuju ke Makassar di Sulawesi Selatan apabila terbakar pada 2 Ogos.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia, Mohammad Syafii berkata, jumlah keseluruhan individu dalam senarai penumpang dan anak kapal feri itu ialah 238 orang.
Beliau berkata, siasatan berhubung punca kebakaran yang mengorbankan lima orang itu sedang dijalankan.
“Walaupun semua penumpang dan anak kapal yang tersenarai dalam senarai sudah dikenal pasti keberadaan mereka, pihak berkuasa mungkin akan menyambung semula operasi mencari sekiranya terdapat laporan daripada ahli keluarga mengenai saudara-mara yang masih belum ditemukan.
“Semua penumpang memakai jaket keselamatan ketika terkandas selama beberapa jam di laut, manakala sebahagian daripada mereka terjatuh ke dalam laut dari ketinggian 10 meter (m),” katanya.
Ahad lalu, mangsa yang terselamat memaklumkan, mereka terdengar beberapa letupan beberapa ketika sebelum kebakaran tercetus sehingga menyebabkan mereka yang berada di atas feri terjun ke laut.
Difahamkan, sepanjang operasi mencari dan menyelamat dijalankan, angka dinyatakan oleh pegawai mengenai jumlah penumpang yang menaiki feri serta mereka yang dilaporkan hilang berubah-ubah dengan ketara.
Indonesia yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau bergantung kepada perkhidmatan feri sebagai salah satu mod pengangkutan utama kerana laluan laut lebih murah dan mudah diperoleh berbanding perjalanan udara.
Bagaimanapun, piawaian keselamatan tidak sentiasa dikuatkuasakan dengan tegas dan kemalangan membabitkan feri berlaku dengan agak kerap.
© New Straits Times Press (M) Bhd




