am@hmetro.com.my
Lumut: Tugas melaksanakan penilaian teknikal berkala terhadap pokok matang di sepanjang jalan persekutuan adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata ia bukan bawah bidang kuasa kementeriannya mahupun syarikat konsesi penyelenggaraan jalan.
Menurutnya, ia berdasarkan peruntukan Seksyen 101(b) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), bahawa PBT mempunyai tanggungjawab sepenuhnya berhubung sebarang kerja untuk menanam, memangkas, atau membuang pokok termasuk pokok yang berada di rizab jalan persekutuan.
“Oleh itu kami berpandangan bahawa pihak PBT iaitu yang sepatutnya bertanggungjawab menanam, memangkas atau membuang pokok termasuk pokok yang berada di rizab jalan persekutuan.
“Seksyen 101(b) juga adalah terpakai untuk mana-mana pokok yang berada di kawasan PBT,” katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Jurutera Daerah Manjung, di Seri Manjung, di sini semalam yang turut dihadiri Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kasim.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman sebelum ini menggesa JKR dan syarikat konsesi penyelenggaraan memperkukuh kerjasama dengan pakar bertauliah bagi melaksanakan penilaian teknikal berkala terhadap pokok matang dan cerun di sepanjang jalan persekutuan susulan tragedi meragut empat nyawa di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur.
Isnin lalu, media melaporkan empat sekeluarga iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi bersama isterinya, seorang anak mereka dan adik ipar Mohd Radzi disahkan maut dalam kejadian kenderaan pikap dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur.
Ahmad berkata, laporan awal yang diterima menyatakan pokok yang tumbang itu berada pada anggaran 15 meter dari tepi jalan dan keadaan pokok dalam keadaan baik, dengan ukur lilit pokok 3.2 meter (meter) dan anggaran tinggi pokok 25m.
Tambahnya, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta syarikat konsesi sedia bekerjasama dengan PBT berhubung masalah dan ancaman risiko keselamatan pokok di jalan-jalan persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




