
Norhidayah kini mempunyai pusat jagaan sendiri selepas dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.
IPOH – Bidang perkhidmatan penjagaan pesakit dan warga emas bukan sahaja membuka peluang kerjaya yang semakin diperlukan, malah mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka yang mempunyai kemahiran serta kesungguhan.
Pengasas NH Patients and Care Service, Norhidayah Roni, 34, antara insan yang berjaya mengubah hidup menjadi lebih baik selepas menceburi bidang berkenaan. Kerjaya itu menjadi titik perubahan hidupnya selepas kehilangan anak berusia empat bulan serta pengalaman menjaga ibu mentuanya yang menghidap demensia.
Menurutnya, pengalaman pahit itu mendorong beliau mengikuti kursus penjagaan warga emas anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi melengkapkan diri dengan ilmu asas perubatan sebelum mula bekerja sebagai penjaga pesakit.
“Pada mulanya saya mahu memahami keadaan ibu mentua dan belajar asas perubatan selepas kehilangan anak. Saya mendapati bidang ini mempunyai prospek yang besar.
“Kerja pertama saya menjaga pesakit terlantar sepenuhnya. Walaupun sukar dan badan pernah cedera kerana kurang pengalaman, saya terus belajar memperbaiki teknik sehingga mampu mengendalikan pesakit dengan lebih selamat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Norhidayah berkata, hasil pengalaman lebih dua tahun termasuk berkhidmat menjaga individu berpengaruh dia kini sudah mempunyai pusat jagaan sendiri selain menawarkan perkhidmatan penjagaan di rumah.

Menurutnya, bidang tersebut berpotensi memberi pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan bergantung kepada jumlah tugasan dan kemahiran dimiliki.
“Hakikatnya ia boleh dicapai jika rajin bekerja dan sanggup meningkatkan kemahiran seperti penjagaan luka, fisioterapi serta pemasangan tiub.
“Selain menjadi ejen, saya sendiri masih turun menjaga pesakit kerana mahu memahami cabaran yang dihadapi kakitangan,” katanya.
Beliau berkata, pusat jagaan yang dibuka pada Jun lalu menggunakan modal sendiri hampir RM30,000 dan kini mampu menempatkan sehingga 13 pesakit dengan tiga pesakit sedang menerima rawatan.
“NH Patients and Care Service kini mempunyai 12 kakitangan tetap serta 53 petugas sambilan bagi memenuhi permintaan perkhidmatan penjagaan di sekitar Ipoh,” ujarnya.
Norhidayah berkata, masyarakat tidak seharusnya memandang rendah kerjaya penjaga pesakit kerana ia memerlukan kemahiran, kesabaran dan empati yang tinggi selain menjadi sektor yang semakin berkembang seiring peningkatan populasi warga emas.
Pembangunan sektor penjagaan itu selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial, pembangunan modal insan dan penyediaan perkhidmatan penjagaan berkualiti bagi memenuhi keperluan masyarakat menua di negeri ini.



