Penyelia tapak projek didakwa pindah wang hasil aktiviti haram RM1.9 juta

Penyelia tapak projek didakwa pindah wang hasil aktiviti haram RM1.9 juta

am@hmetro.com.my

Seremban: Penyelia tapak projek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta dengan memperdayakan seorang lelaki berkaitan penjualan lot tanah di Rembau.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut tiga pertuduhan, dia didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.54 juta daripada satu akaun bank milik sebuah syarikat dan dengan curangnya memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang itu ke akaun semasa miliknya.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa menerima hasil aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM338,000 daripada akaun simpanan seorang lelaki berusia 54 tahun.

Semua pemindahan keseluruhan berjumlah RM1.9 juta itu dilakukan selepas tertuduh memperdayakan dua mangsa itu untuk mempercayai bahawa dia ingin menjual satu lot hartanah dalam Mukim Kundor daerah Rembau, sedangkan tertuduh bukan pemilik yang sah bagi hartanah itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol dari 5 hingga 11 Disember 2023.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana R Azmi menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon kes itu dipindahkan serta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang.

Menurutnya, permohonan itu dibuat kerana terdapat kes yang dipertuduhkan terhadap tertuduh di Georgetown semalam selain kaitan rapat kes penggubahan wang itu.

“Perbicaraan bersama lebih efisien dan menjimatkan masa mahkamah serta pihak dalam kes ini, malah mangsa berada di Pulau Pinang,” katanya.

Peguam, Raqib Osman yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada risiko melarikan diri selain tidak mempunyai kemampuan untuk membayar ikat jamin yang tinggi.

“Tertuduh bekerja sebagai penyelia tapak dengan gaji RM5,000 sebulan, menghidap darah tinggi, dia menanggung dua anak, isteri dan ibu yang sudah tua,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Permohonan untuk memindahkan dan membicarakan empat pertuduhan itu secara bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen Georgetown dibenarkan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 September depan untuk serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top