Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor sedang memperhalusi model baharu bagi pelaksanaan semula inisiatif Wi-Fi Smart Selangor (WSS) dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perubahan keperluan pengguna.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohd Fahmi Ngah berkata selain itu model baharu Wi-Fi percuma itu akan turut mengambil kira faktor tahap penggunaan pada setiap lokasi, keupayaan infrastruktur serta mekanisme pembiayaan dan pengoperasian yang lebih mampan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan ini, suatu model Wi-Fi awam percuma sedang dibangunkan bersama penyedia telekomunikasi tempatan untuk diguna pakai di masjid-masjid di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Inisiatif baharu ini bukan sahaja percuma, malah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan capaian maklumat yang berilmu, sah, berfakta dan patuh syariah sahaja yang dapat dilayari di kawasan masjid,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) yang ingin tahu status pelaksanaan inisiatif WSS selepas dinyahaktifkan perkhidmatan pada 31 Dis 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Mohd Fahmi berkata, model baharu itu dibangunkan selepas kerajaan negeri memutuskan untuk beralih kepada model penyampaian yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata, perkhidmatan WSS sebelum ini yang diperkenalkan pada 2015 bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat ditamatkan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-16/2024 pada 29 Mei 2024 meluluskan pelan penyahaktifan secara berperingkat.
Mohd Fahmi berkata tiada lokasi WSS diaktifkan semula setakat ini selepas penamatan rasmi perkhidmatan itu pada 31 Dis 2024 yang melibatkan 1,470 lokasi di bawah model pelaksanaan terdahulu.
Bagaimanapun, beliau berkata bagi memastikan kesinambungan akses Internet percuma di kawasan luar bandar, SKMM menyediakan 84 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




