PUTRAJAYA – Kongres Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadual berlangsung hujung minggu depan dijangka menjadi medan bedah siasat menyeluruh terhadap prestasi parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, dengan tumpuan kepada kelemahan jentera, persiapan calon serta keberkesanan dasar kerajaan.
Jurucakap Kerajaan yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, selain memenuhi keperluan parti mengikut Perlembagaan dan syarat ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kongres itu dijangka menyaksikan perwakilan membahaskan pelbagai dapatan daripada dua PRN berkenaan.
Menurutnya, antara isu yang dijangka menjadi perhatian ialah pengajaran yang boleh diambil daripada keputusan pilihan raya serta tindakan yang perlu dilaksanakan bagi memperkukuh parti.
“Sudah pasti isu-isu yang akan dibangkitkan saya kira oleh perwakilan dari Johor dan juga Negeri Sembilan, apa yang mungkin telah disaksikan untuk bukan hanya bermuhasabah, mengambil ibrah dan pengajaran daripada apa yang telah berlaku dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Dan apa tindakan yang perlu diambil dalam parti itu yang pertama, sama ada dari segi jentera, dari segi tugasan, dari segi mungkin persiapan calon dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya pada Rabu.
AKAN MENYUSUL



