SPRM bentang 6 syor penambahbaikan tatakelola subsidi minyak masak

SPRM bentang 6 syor penambahbaikan tatakelola subsidi minyak masak

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan enam syor penambahbaikan tatakelola terhadap pelaksanaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh kawalan dan pengurusan subsidi minyak masak negara.

SPRM berkata, antara syor itu ialah keperluan memperkukuh asas kuota, Prosedur Operassi Standard (SOP) dan verifikasi premis secara lebih telus dan memperkukuh ketelusan rekod, pengesanan edaran dan pemantauan pematuhan secara berterusan.

Katanya, ia juga serta mewujudkan tadbir urus subsidi yang bersepadu, telus, berintegriti dan berasaskan analitik risiko.

“Selain itu, BPT SPRM turut mengesyorkan supaya eCOSS di naik taraf sebagai sistem pengurusan subsidi ‘end-to-end’ yang meliputi permohonan kuota, perbekalan, pengedaran, rekod jualan, nota kredit, tuntutan, bayaran, naziran dan penguatkuasaan.

“Ini adalah bagi memastikan tuntutan subsidi dan transaksi hanya berlaku melalui sistem yang sah, berintegriti dan disahkan secara digital,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syor berkenaan dibentangkan Ketua Cawangan Task Force BPT SPRM, Fadlyzal Mohd Zain di Bilik Mesyuarat Bunga Raya KPDN, di sini, hari ini.

SPRM berkata, penyiasatan tatakelola oleh BPT SPRM memberikan tumpuan kepada aspek dasar dan kuota, pelesenan dan permit, pembekalan dan pengedaran, jualan dan tuntutan subsidi, pemantauan dan penguatkuasaan serta keberkesanan sistem eCOSS.

Katanya, selain itu sistem e-COSS yang masih banyak bergantung kepada dokumen syarikat, input manual dan semakan pegawai di mana ia boleh membuka ruang kepada ketidakseragaman keputusan, manipulasi rekod, tuntutan tidak sah serta risiko ketirisan subsidi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar menyambut baik syor berkenaan dalam usaha bersama bagi menutup ruang ketirisan dan meningkatkan akauntabiliti serta memastikan subsidi minyak masak diurus secara cekap dan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Persetujuan itu dizahirkan dengan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola disaksikan oleh Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin dan Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top