Langgar gajah: Syarikat konsesi diarah baik pulih pagar keselamatan

Langgar gajah: Syarikat konsesi diarah baik pulih pagar keselamatan

PETALING JAYA: Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) diarah membaik pulih pagar keselamatan yang rosak dengan segera, susulan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan sekumpulan gajah di Kilometer 274.6 arah utara berhampiran laluan Cheneh-Chukai.

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati pagar keselamatan sedia ada roboh dipercayai akibat rempuhan kawanan gajah yang melalui kawasan berkenaan.

Selain itu katanya, syarikat konsesi tersebut juga digesa meneliti langkah jangka panjang bagi meningkatkan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Pasukan teknikal telah berada di tapak bagi menilai tahap kerosakan dan menyelaras pelaksanaan kerja pembaikan dengan kadar segera. Saya dimaklumkan kerja pembaikan ini akan bermula selewat-lewatnya esok (6 Ogos),” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Semalam, sepasang suami isteri dilaporkan cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah yang melintas di LPT2.

Sebagai langkah pencegahan awal, beliau berkata, pihak LPT2 turut diarahkan meningkatkan kekerapan rondaan terutama pada waktu malam di kawasan berisiko bagi memantau pergerakan hidupan liar serta memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Katanya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut diarahkan mengadakan perbincangan bersama LPT2 dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan.

Selain langkah mitigasi hidupan liar, Alexander berkata, beliau turut mengarahkan supaya cadangan penambahbaikan pencahayaan di kawasan berisiko, termasuk pemasangan lampu LED diteliti bagi menilai kesesuaian dan keperluan pelaksanaannya.

Katanya, insiden itu disifatkan serius kerana bukan sahaja membabitkan keselamatan pengguna jalan raya, malah mencerminkan cabaran yang semakin meningkat dalam pengurusan konflik antara manusia dan hidupan liar. – UTUSAN

Scroll to Top