PUTRAJAYA – Harga runcit RON97, RON95 tanpa subsidi dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun 5 sen seliter bagi tempoh 6 Ogos hingga 12 Ogos 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, harga baharu RON97 ditetapkan pada RM4.35 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.77 seliter dan diesel tanpa subsidi RM4.57 seliter, berkuat kuasa mulai Khamis.
Menurut kenyataan, pengurangan harga produk petroleum tanpa subsidi itu menjurus kepada penurunan harga tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM), walaupun minyak mentah Brent melepasi AS$90 setong, minggu lalu.
“Keadaan geopolitik yang kekal tidak menentu, termasuk perkembangan berkaitan usaha perdamaian yang berubah dari hari ke hari, terus menyebabkan turun naik ketara dalam pasaran minyak dunia.
“Harga petroleum kekal sensitif terhadap risiko gangguan bekalan sekiranya laluan perkapalan utama, khususnya Selat Hormuz dan Laut Merah, terjejas susulan peningkatan konflik.
“Selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia,” katanya pada Rabu.
Kementerian itu memberitahu, harga bahan api bersubsidi dikekalkan iaitu RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, diesel (BUDI Diesel) RM2.10 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.
“Melalui BUDI95 dan BUDI Madani Diesel BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.
“Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” katanya.



