hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia dan Vietnam memperkukuh hubungan pertahanan menerusi kerjasama strategik dalam menangani cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung sempena lawatan rasminya ke Vietnam.
Mohamed Khaled berkata, Malaysia mempunyai hubungan pertahanan yang erat dengan Vietnam dan menganggap negara berkenaan sebagai rakan yang dipercayai serta diyakini.
Katanya, kedua-dua negara turut berkongsi pandangan strategik yang sama serta berpegang kepada prinsip ASEAN dengan dialog dan diplomasi sebagai asas dalam mengekalkan keamanan serta kestabilan serantau.
“Kami turut bertukar pandangan mengenai cabaran pertahanan semasa, termasuk persaingan kuasa besar, aktiviti ‘grey zone,’ ancaman siber, kecerdasan buatan (AI), ‘cognitive warfare’ dan gangguan rantaian bekalan.
Dalam persekitaran yang semakin kompleks, ASEAN perlu terus memperkukuh ‘collective regional resilience’ melalui kerjasama yang lebih erat,” katanya dalam perkongsian di Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan 2023 akan terus menjadi ‘roadmap’ dalam memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam ke tahap lebih strategik.
“Kami turut membincangkan usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang maritim, pembangunan keupayaan, teknologi dan industri pertahanan selaras dengan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




