am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon juga pelawak veteran, Sathiya, 62, meluahkan rasa syukur kerana keadaan kesihatannya semakin baik dan kini sudah kembali dalam bidang lakonan.
Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy berkata, dia juga banyak menerima tawaran berlakon dari pelbagai produksi ketika ini.
“Saya tengah jayakan penggambaran cerita genre komedi sempena sambutan Hari Kemerdekaan untuk saluran Astro.
“Menyusul selepas ini, saya akan ‘shoot’ projek untuk saluran RTM, bersama pihak KRU dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pula.
“Saya pun ‘pening’ kerana banyak dapat tawaran berlakon ketika ini tapi saya teruskan juga sebab minat mendalam dalam bidang lakonan yang sudah sebati sejak dulu,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya keadaannya berkerusi roda pula, kata Sathiya yang sudah lebih empat dekad berlakon, dia akui agak sukar berlakon dalam keadaan sedemikian.
“Selalunya pihak produksi akan datang ambil di rumah dan akan hantar pulang semula selepas selesai penggambaran.
“Macam hari ini, saya ‘shoot’ dari pagi dan petang baru selesai. Memanglah letih (penat) bila berlakon dengan keadaan saya yang tidak ada sebelah kaki dan berkerusi roda ini.
“Tapi nak buat macam mana kerana kita memang kekurangan pelakon pelapis komedi dari kaum India. Sebelum ini, kita ada pelawak Accapan tapi sekarang hanya tinggal saya sahaja,” kata pelakon yang dikenali menerusi Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.
Sathiya berkata, kali terakhir dia berlakon adalah bersama pelakon versatil, Allahyarham Jalil Hamid.
“Masa itu, saya juga sudah tiada kaki tetapi tetap berlakon juga dengannya. Saya juga sudah 43 tahun berlakon dan tidak pernah berhenti sehinggalah sekarang.
“Saya juga tidak mahu fikir soal masalah kerana mahu sentiasa gembira sahaja bila kembali ke set semula dan berjumpa kawan-kawan,” katanya.
Sementara itu mengulas bantuan kaki palsu dari pihak Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) pula, kata Sathiya, dia perlu memastikan luka pembedahan di kaki kirinya itu pulih sepenuhnya terlebih dahulu.
“Saya memang sudah ‘stand by’ untuk pemasangan kaki palsu itu tetapi ia tidak dapat dilakukan segera kerana saya kini terbabit dengan jadual penggambaran.
“Difahamkan, selepas luka kaki kiri yang dipotong sudah pulih sepenuhnya, baru doktor beritahu untuk pemasangan kaki palsu itu. Saya juga ada temujanji dengan doktor pada 14 September nanti,” katanya.
Terdahulu, Sathiya dilaporkan menjalani pembedahan pada kaki kirinya yang dipotong sehingga di atas paras lutut pada 9 Mac lalu apabila doktor memaklumkan ada jangkitan kuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




