London: Arsenal dilaporkan mencapai persetujuan dengan Newcastle United untuk mendapatkan khidmat kapten pasukan itu, Bruno Guimaraes menerusi nilai perpindahan sebanyak £75 juta (RM413 juta).
Masa depan pemain tengah Brazil itu menjadi spekluasi sejak beberapa minggu lalu selepas muncul laporan bahawa dia mahu meninggalkan Tyneside bagi menyertai Arsenal.
Guimaraes, 28, yang menyertai Newcastle dari Lyon pada 2022 menjaringkan sembilan gol dan mencipta lapan bantuan gol dalam semua pertandingan bersama The Magpies musim lalu.
Selepas berehat susulan kempen Piala Dunia bersama Brazil, dia kembali menyertai skuad Newcastle dalam kem latihan pramusim kelab itu di Sepanyol.
Sebelum ini, Eddie Howe yang meletak jawatan sebagai pengurus Newcastle minggu lalu, mengakui bimbang kehilangan khidmat Guimaraes.
Juara Liga Perdana Inggeris, Arsenal, dilihat kurang aktif dalam jendela perpindahan berbanding Tottenham Hotspur, Manchester City dan Chelsea menjelang permulaan musim baharu.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak pernah mengulas secara terbuka mengenai minat terhadap Guimaraes, namun menegaskan kelab itu sangat aktif dan bercita-cita besar dalam apa yang mahu lakukan.
“Kami perlu meningkatkan persaingan dalam pasukan. Kami juga perlu mengenal pasti perkara yang masih kurang dalam skuad ini,” katanya.
Arsenal akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menentang Coventry City di Stadium Emirates pada 21 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




